Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedah pilih nama Darul Aman FC elak dikaitkan dengan KFC

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Skuad bola sepak dari negeri Jelapang Padi Malaysia akan dikenali sebagai Darul Aman FC (DFC) hasil penjenamaan semula pasukan itu yang kini diswastakan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata nama itu dipilih untuk mengelakkan pasukan mereka disamakan seperti jenama ayam goreng syarikat rangkaian makanan segera yang terkenal.

Sepatutnya penjenamaan semula Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menjadi kelab bola sepak menjadikan ia dikenali sebagai Kedah FC.

Namun di situlah berlakunya kemungkinan kekeliruan apabila kependekan kelab tersebut digunakan, menjadi KFC.

"Apabila kita fikir-fikir, Kedah Footbal Club akan jadi KFC, (kami) tidak mahu jadi ayam goreng, (justeru) nak elak daripada ayam goreng kita namakan Darul Aman FC (DFC)," katanya seperti dipetik Astro Awani hari ini.

Untuk rekod semua pasukan yang terbabit dalam saingan Liga M dalam proses penswastaan dengan 90 peratus sudah melengkapkannya menjelang tarikh akhir tengah malam ini. 

Menurut FAM pasukan yang gagal melengkapkan proses penswastaan itu tidak akan dibenarkan beraksi dalam pertandingan kelab anjuran Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) sekiranya mereka layak, selain diturunkan ke saingan Liga M3 pada 2021.

Rabu lalu, FAM mengesahkan 12 pasukan Liga M berjaya melengkapkan proses itu ialah JDT, Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Menurut Sanusi walaupun nama pasukan itu bertukar, hijau kuning dan lagu skuad akan dikekalkan sebagai identiti mereka.

Katanya logo pasukan DFC pula akan diubai suai bersesuaian dengan nama baru pasukan berkenaan dan butiran lengkap mengenai hal itu akan didedahkan sewaktu pelancaran rasmi nanti.

“[…] masih guna warna yang sama, lagu yang sama, hijau kuning, kita boleh bersorak sama, logo kena lain, DFC kena ada logo sendirilah," katanya.

Sanusi menambah proses penswastaan itu secara umumnya cumalah formaliti saja dan berharap sokongan yang diberikan peminat akan tetap kekal seperti sebelum ini.

Sementara itu, Sanusi yang juga menteri besar Kedah turut mengalukan-alukan kerjasama mana-mana pihak yang berminat untuk menaja DFC.