Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyerang JDT Syafiq Ahmad kemalangan, anak berusia 22 hari maut

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penyerang pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi, yang mengorbankan anak lelakinya yang baru berusia 22 hari.

Turut terkorban dalam kemalangan yang dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dekat Sungai Bakap, Pulau Pinang, kira-kira 5.30 pagi tadi, adalah wanita warga tempatan Zainab Wahab, 45, dipercayai merupakan ibu mentuanya dan warga Indonesia, Titik Sukamti, berusia 30-an.

Menurut laporan Sinar Harian hari ini, Syafiq, 25, dan seorang lagi anaknya, Aaira Nur Saffiyaa, 2, cedera ringan manakala isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, cedera parah.

Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Abd Syukur @ Mohd Ilhami Musa dipetik sebagai berkata, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Ketika tiba di lokasi, kita mendapati sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire berwarna hitam remuk teruk dipercayai terbabas sendiri lalu melanggar pembahagi jalan.

"Pasukan bomba yang lengkap berpakaian perlindungan peribadi (PPE) telah mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas. Mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar pada jam 6.10 pagi," katanya seperti dipetik.

Dia berkata mayat telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya lagi, bomba menerima panggilan kecemasan pada juma 5.36 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

"Operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap. Ia tamat kira-kira jam 6.12 pagi," katanya

Selain bayi lelaki Muhammad Syafiq, dua lagi mangsa yang terkorban dilaporkan ialah wanita warga tempatan Zainab Wahab, 45, dan warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an - dipercayai ibu mertuanya, seperti laporan Astro Awani.