Skip to main
Logo Malaysiakini

Selangor FC ikat pemain pertahanan dari Jerman

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selangor FC mengikat pemain dari Jerman Tim Heubach untuk memperkuat benteng pertahanan pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 yang dijadual bermula Feb tahun depan.

Hal mengenai pemain berasal dari Neuss, Jerman yang mempunyai ketinggian 192 sentimeter serta pernah beraksi bersama pasukan Ligat Ha’AI Maccabi Netanya itu diumumkan Selangor FC dalam kenyataan di laman web www.selangorfc.com hari ini.

Pemain berkenaan membuat 82 penampilan dengan kelab tersebut dan menjaringkan lima gol mereka.

Menurut kenyataan itu lagi Selangor FC merupakan kelab Asia pertama disertai Heubach setelah berkelana lama di Timur Tengah selain pernah bermain untuk Borrussia M’glabach II, 1 FC Kaiserslautern dan FSV Frankfurt.

“Saya tidak pernah sampai ke Asia sebelum ini dan ingin mencari cabaran baru di sini sebelum pulang ke Jerman satu hari nanti.

“Semasa saya diberitahu oleh jurulatih Michael (Feichtenbeiner) mengenai Selangor FC, saya teruja dan menonton banyak video berkaitan pasukan The Red Giants di YouTube dan perlawanan siaran langsung, timbul keyakinan untuk saya bermain bersama pasukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Heubach berkata dia juga dimaklumkan mengenai penyertaan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih Selangor FC dan pernah bertemu dengan jurulatih berkenaan di Jerman pada Okt lepas.

“Ia adalah pertemuan pertama kami. Saya tidak pernah bekerjasama dengan Neitzel sebelum ini tapi kami pernah menjadi lawan pada satu ketika dulu.

“Semasa bertemu kami berbincang mengenai cabaran baru untuk kami berdua di Malaysia. Dia juga sempat memberitahu saya mengenai perancangannya bersama Selangor FC dan harapan terhadap saya,” katanya.

Heubach adalah pemain terbaru kedua diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama Selangor FC selepas penyerang kebangsaan Shahrel Fikri minggu lepas.

- Bernama