Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes rasuah bekas ejen sekretariat Sukma tangguh bagi runding akuan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perbicaraan kes seorang bekas penjawat awam yang didakwa atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM257,600 pada Julai dan Ogos tahun lepas di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini ditangguh pada 9 Feb depan bagi rundingan akuan.

Pada prosiding hari ini, peguam Khairilazwar Khalil yang mewakili tertuduh Herman Ibrahim, 46, bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula kes berkenaan bagi prosedur rundingan akuan.

Khairilazwar memaklumkan akan menulis surat permohonan untuk membuat rundingan akuan dengan pihak pendakwaan bagi keputusan kes terbabit.

Hakim S Indra Nehru kemudian menetapkan tarikh berkenaan sebagai sebutan semula kes untuk prosedur terbabit di bawah Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 17 Julai tahun lalu, Herman didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM149,600 di tempat dan waktu berbeza ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima wang berjumlah RM7,500 sebagai balasan daripada pemilik syarikat Pro Explore Event Management, Mohd Zulkhibri Abdul Mutalib di Public Bank Berhad, Jalan Sultan Idris Shah, di Ipoh, pada 15 Nov 2018.

Bagi pertuduhan kedua pula, Herman didakwa menerima wang berjumlah RM68,600 dengan tiada balasan daripada Raja Khairy Ehsan Raja Norddin melalui pemindahan wang ke dalam akaun pihak ketiga iaitu Syarikat Ohana Services, untuk pembekalan bagi penubuhan syarikat dobi Eh Matrix Resources, milik bapa mentuanya, Bustanudin Bustamam, di cawangan Bank Rakyat, Medan Gopeng, Jalan Raja Dr Nazrin Shah, di Ipoh, pada 14 Feb 2018.

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM73,500 dengan tiada balasan daripada pemilik Syarikat Rainhousemusic, Raja Khairy Ehsan melalui pihak ketiga iaitu Maarof Ahmad, di perkarangan Stadium Perak, di Ipoh, pada 18 Feb 2019.

Pada 14 Ogos, Herman dituduh atas tiga lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM108,000 ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Herman didakwa menerima suapan masing-masing berjumlah RM50,000 pada 21 Nov 2018 dan RM40,000 pada 1 Feb 2019 daripada pemilik Syarikat Ainaz Marketing yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di hadapan bank RHB Jalan Tun Sambanthan di Ipoh.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima RM18,000 daripada pemilik Syarikat Shadess Event Planner yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di sekitar kawasan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh pada 18 Nov 2018.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Herman didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin.

- Bernama