Skip to main
Logo Malaysiakini

Had gaji siling mampu jejas nilai komersial Liga-M

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Ab Ghani Hassan secara peribadi tidak bersetuju had gaji siling pemain diperkenalkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Katanya, Liga-M yang ketika ini merangkumi saingan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala Cabaran merupakan satu perniagaan terbuka dan penetapan had gaji siling mampu menjejaskan usaha meningkatkan nilai komersial Liga-M.

Beliau berkata penetapan had gaji siling akan melunturkan minat barisan pemain tempatan untuk terus beraksi dalam Liga-M, sekali gus mengalihkan pandangan mereka untuk beraksi di luar bersama pasukan yang mampu menawarkan gaji lebih tinggi.

"Sebagai liga bertaraf profesional, kita mesti dipandang oleh pihak luar sebagai liga yang berdaya saing," katanya kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama media di Ibu Pejabat MFL di Kelana Jaya, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan penetapan gaji pemain bola sepak yang terlalu tinggi boleh membunuh industri sukan nombor satu itu dalam negara.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL mempertimbangkan aspek tersebut dalam menyusun atur industri bola sepak demi kebaikan pasukan dan pemain.

Sementara itu menyedari isu tunggakan gaji pemain serta pegawai yang membelenggu pasukan saban musim, Ab Ghani berharap pasukan terlebih dahulu perlu mempunyai perancangan pengurusan kewangan yang baik dan mengamalkan langkah ‘mengukur baju di badan sendiri’.

"Pasukan kena bijak untuk mengendalikan antara bajet dan gaji. Dengan bajet yang ada itulah gaji yang akan ditawarkan kepada pemain. Jangan beri melebihi bajet kerana itu la menyebabkan pasukan gagal membuat pembayaran," jelasnya.

Media tempatan melaporkan beberapa pasukan berdepan isu tunggakan gaji pemain dengan Perak FC dan Kedah Darul Aman FC didakwa mengalami tunggakan gaji dua bulan.

Ab Ghani berkata sebagai badan pentadbir Liga-M, pihaknya telah berhubung dengan pasukan yang didakwa itu dan menerima maklum balas positif apabila usaha untuk mengatasi permasalahan itu sedang dilakukan.

-Bernama