Skip to main
Logo Malaysiakini

264 atlet, pegawai ke Tokyo terima vaksin esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 264 atlet dan pegawai yang terlibat dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, bakal menerima dos pertama vaksin COVID-19 esok sebagai persiapan ke temasya berkenaan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan suntikan vaksin berkenaan akan dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut dijadualkan menerima suntikan vaksin bersama-sama atlet berkenaan.

“Aspek persiapan ke Tokyo merangkumi pemberian vaksin kepada atlet dan pegawai yang terlibat serta program yang diatur khas bagi menyemarakkan lagi semangat menghadapi temasya ulung yang diterajui oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Reezal Merican (atas) juga dijangka melancarkan ‘countdown’ Detik 100 Hari ke Tokyo 2020, Rabu ini di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil bagi membangkitkan semangat atlet dan mendapat sokongan masyarakat menerusi Program Jelajah Road to Tokyo 2020 yang digerakkan ke seluruh negara.

Program jelajah secara kayuhan basikal yang akan bermula dan berakhir di Bukit Jalil sempena majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Tokyo 2020 pada Julai itu, akan diwakili oleh lima individu dari setiap negeri dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan rekreasi yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Reezal Merican akan melancarkan laman web rasmi ‘Road to Tokyo 2020’ sebagai platform hebahan maklumat berkaitan kontinjen negara serta memperkenalkan identiti kontinjen negara meliputi slogan, lagu dan sorakan sukan negara.

- Bernama