Ujian harian Covid-19 melecehkan tapi perlu, kata MOM
Senarai langkah-langkah baru yang dikeluarkan oleh penganjur Olimpik dan Paralimpik Tokyo semalam, yang antara lain memerlukan atlet menjalani ujian Covid-19 secara harian, pastinya tidak menyelesakan bagi peserta.
Namun kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Mohamad Norza Zakaria, langkah itu perlu bagi melindungi keselamatan atlet serta pegawai sepanjang berlangsungnya temasya sukan terbesar dunia tersebut, yang diadakan tatkala pandemik Covid-19 sedang menular.
“Temasya akan diadakan dengan konsep gelembung. Ini akan menguji kesabaran, namun saya harap atlet kita dapat mengekalkan fokus dan keazaman untuk merealisasikan impian mereka. Buat masa ini kami OK dengan langkah itu selagi ia dapat melindungi semua orang,” katanya di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Presiden Persatuan Olympian Malaysia (MOA) Noraseela Mohd Khalid turut menyokong pelaksanaan langkah tersebut yang diambil demi keselamatan semua yang terlibat.
“Saya rasa itu satu keputusan yang bijak, untuk sentiasa mengemas kini ‘playbook’ (buku panduan) berdasarkan keadaan terkini pandemik. Jepun dan rakyatnya sangat tabah dan berdedikasi dalam mendepani cabaran yang dihadapi mereka,” katanya.
“Saya percaya semua langkah serta keputusan dibuat demi penganjuran Olimpik dan Paralimpik yang selamat dan afektif,” kata bekas atlet lari berpagar yang pernah mewakili negara di Olimpik London 2012.
Malam tadi, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo (Tokyo 2020), Kerajaan Metropolitan Tokyo serta kerajaan Jepun mengeluarkan beberapa langkah tambahan bagi temasya itu dalam ‘playbook’ terkini.
Antara langkah berkenaan ialah peserta perlu menjalani dua ujian COVID-19 sebelum penerbangan mereka ke Jepun serta ujian harian bagi atlet serta orang yang berdekatan dengan mereka bagi meminimumkan risiko kes positif yang tidak dikesan.
“Semua peserta temasya itu akan diuji setiap hari selama tiga hari selepas ketibaan mereka. Selepas itu, sepanjang mereka di temasya tersebut, mereka akan diuji secara kerap, berdasarkan peranan serta kontak dengan atlet.
“Semua peserta, secara prinsipnya, hanya menjalankan aktiviti yang sudah dirangka dalam pelan aktiviti mereka. Mereka harus meminimumkan kontak dalam jarak satu meter dengan peserta temasya yang sudah berada di Jepun melebihi 14 hari dan juga penduduk Jepun,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Selain itu, peserta juga tidak dibenar menggunakan pengangkutan awam (mesti gunakan kenderaan yang dikhususkan untuk temasya), sementara untuk makan pula mereka hanya boleh berbuat demikian di tempat yang sudah dipersiapkan dengan langkah-langkah pencegahan Covid-19 termasuk kemudahan katering di venue temasya, restoran tempat penginapan serta bilik mereka, menggunakan servis bilik atau penghantaran makanan.
Penganjur juga mentakrifkan kontak rapat sebagai mereka yang mempunyai kontak secara berterusan (15 minit atau lebih) dengan seseorang yang disahkan sebagai positif Covid-19, dalam jarak satu meter tanpa memakai pelitup muka.
“Ini terpakai apabila kontak rapat berlaku di dalam ruang tertutup seperti bilik hotel atau kenderaan. Kes akan disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun,” demikian menurut kenyataan itu.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai