Henti spekulasi tak wajar kaitkan kematian Haziq dengan vaksin
Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican menggesa orang ramai untuk tidak menimbulkan spekulasi tidak wajar mengenai kematian pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin.
Tindakan segelintir pihak mengaitkan kematian pemanah negara, Haziq dengan pengambilan vaksin Covid-19 adalah tidak bertanggungjawab, kata menteri itu pada maklum balas di media sosial hari ini.
Reezal menyeru pihak berkenaan agar berhenti menyebarkan berita yang tidak benar.
"Saya tahu ada pihak cuba mengaitkan kematian Allahyarham dengan pengambilan vaksin. Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Saya mohon tidak sebarkan berita yang tidak benar.
"Saya serta 242 orang atlet termasuklah Allahyarham Haziq turut mengambil vaksin yang sama," katanya pada maklum balas di media sosial.
Jelasnya, pihak hospital perlu diberi ruang untuk membuat bedah siasat.
"Kita hormati perasaan keluarga Allahyarham juga. Sebarang perkembangan, saya dan KBS akan maklumkan kepada semua," katanya lagi.
Terdahulu, seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali dilaporkan berkata pemanah recurve berusia 27 tahun itu rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat subuh pagi tadi.
Menurutnya, Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia sejurus ketibaan di hospital itu.
Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil dan kini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai