Tak mahu gemuk sampai mati
“Umur hampir 30. Takkan nak gemuk sampai mati? Nanti mati pun menyusahkan orang untuk angkat sebab berat. Belum campur kalau banyak dosa, tambah lagi berat”.
Bagi mereka yang tidak pernah mengalami masalah obesiti, ayat ini kedengaran agak keterlaluan. Mungkin juga sedikit lucu.
Namun, hakikatnya inilah yang tersemat di fikiran Mohamad Haziq Mohd Ridzuan, 30, lantas memacu semangatnya sehingga berjaya menurunkan berat badan lebih 50 kg dalam masa 21 bulan.
Berasal dari Tanjung Karang, Selangor, anak muda yang mesra disapa dengan nama Haziq ini berkata, kesukaran untuk bersolat, melakukan aktiviti berat dan cepat berasa letih antara nikmat yang pernah hilang pada dirinya sebelum ini.
”Jika sebelum ini waktu bersolat khususnya ketika duduk tahiyat akhir, saya berasa tidak selesa. Alhamdulillah, sekarang saya dapat merasa kembali nikmat untuk solat dengan sempurna.
”Saya juga kerap mengalami sakit belakang sehingga tidak dapat bangun dan cepat berasa letih kerana tidak mampu menampung berat badan sendiri. Doktor menasihatkan masalah ini tiada ubat melainkan mengurangkan berat badan dan itu adalah solusi terbaik buat diri saya” katanya kepada Bernama.
Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ranggam, Perak ini berkata faktor usia dan kesihatan juga mempengaruhinya nekad berubah dengan mula mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
“Bermula pada akhir lewat 20-an dengan berat 141 kg, saya kini berjaya mencapai berat 84 kg dan masih dalam usaha untuk menurunkan beberapa kilogram lagi bagi mencapai BMI normal sekitar 81 kg sesuai dengan ketinggian 181 cm,” jelas Haziq yang juga seorang novelis sambilan.
Di Malaysia, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 30.4 peratus daripada orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan manakala 19.7 peratus adalah obes.
Harus difahami bahawa terminologi berlebihan berat badan dan obes adalah dua kategori berbeza.
Bagi berlebihan berat badan, NHMS 2019 mendefinisikan ia berdasarkan Indeks Jisim Tubuh (IJT) melebihi 25kg/m2 manakala untuk obes kadar IJT melebihi 30kg/m2.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ketika membentangkan tinjauan NHMS 2019 berkata, seorang daripada lima orang dewasa di Malaysia atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes, antara penyakit yang sering dikaitkan dengan berat badan berlebihan.
Lonjakan kes COVID-19 juga meletakkan golongan obesiti dalam kategori berisiko tinggi.
Ini sedikit sebanyak menimbulkan persoalan bagaimanakah caranya untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan pada tahap paling optimum?
Jalan cepat, suku-suku-separuh
Bagi Murni Mat Nasri, 46, beliau berjaya menurunkan 32 kg dengan hanya melakukan senaman ‘brisk-walking’ dan mengamalkan gaya pemakanan sihat iaitu diet suku-suku separuh bermula November 2017 dengan berat badan 112 kg pada ketika itu.
”Saya pernah mengalami kecederaan lutut sebelum ini kerana aktif bermain bola jaring dan apabila berat badan semakin naik, lutut menjadi semakin sakit, cepat letih dan menyukarkan pergerakan harian,” katanya yang pernah menyertai program kecergasan selama enam minggu sebelum ini.
Murni berkongsi melihat anaknya yang masih kecil pada ketika itu serta memikirkan tahap kesihatan masa hadapan antara pendorong dirinya mengurangkan berat badan dan kekal cergas.
Masih dalam usaha untuk menurunkan 10kg lagi bagi mencapai BMI yang ideal, Murni merasakan kualiti kehidupan beliau lebih baik dan merasa lebih berkeyakinan, apatah lagi kini beliau mampu berlari sehingga 10 km tanpa henti.
“Nasihat saya, mulakan hari ini. Jangan berdolak-dalih. Kesihatan dan antibodi yang kuat adalah paling utama dalam keadaan pandemik yang melanda sekarang ini.
“Bayangkan begini. Jika kita konsisten bermula hari ini, Insyaallah tahun depan kita dapat kurangkan 10 kg, tetapi ia tidak mungkin akan berlaku jika kita tidak bermula. Berat badan akan tetap kekal dan mungkin bertambah,” katanya.
Bersenam hari-hari
Sementara itu, jurulatih kecergasan bebas Aidy Syazreef Johan, 32, berkata pada tahun 2008 beratnya hampir mencecah 100 kg, mengakibatkan beliau hilang keyakinan keluar rumah dan berhadapan dengan orang ramai.
“Alhamdulillah dengan berat saya kini sekitar 76 kg, saya dapat bersukan, berenang, berlari dan naik turun tangga tanpa masalah. Mencari pakaian juga senang,” kata Aidy.
Malah beliau turut “terjebak” dalam industri kecergasan hasil daripada inisiatif dan pengalaman membuat pelbagai kajian dan menjalani kursus serta seminar berkenaan kecergasan dan sains sukan.
“Zaman sekolah selalu overweight dan pada waktu itu nekad untuk berubah dengan bersenam hari-hari tanpa ilmu.
“Kini saya faham angka di penimbang itu tidak berapa tepat untuk mengukur tahap kesihatan seseorang. Paling penting ukur peratus body fat dan otot serta ukur lilit pinggang,” katanya yang juga bekerja sebagai perunding hartanah di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.
Aidy berkata beliau mahu menyebarkan ilmu dan memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa kecergasan dan mendapatkan berat badan ideal adalah mudah jika mempunyai ilmu serta melakukannya dengan kaedah yang betul.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai