Kami sudah cuba lakukan yang terbaik - Pandelela
“Kami sudah cuba melakukan yang terbaik, dan mungkin kami tiada tuah meraih pingat kali ini. Tiada yang perlu dikesalkan,” demikian reaksi ratu terjun negara Pandelela Rinong selepas tamat acara 10 meter platform seirama wanita Sukan Olimpik Tokyo di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.
Pandelela, 28, berkata segalanya berjalan lancar ketika sesi memanaskan badan sebelum saingan bermula, namun ketika aksi sebenar dia bersama Leong Mun Yee, masing-masing melakukan kesilapan dalam terjunan.
“Kami beraksi tanpa tekanan kerana sudah biasa dengan keadaan ini…mungkin semasa melakukan terjunan sedikit tidak menjadi,” kata penerjun kelahiran Sarawak itu.
Harapan peminat sukan tanah air untuk melihat gandingan Pandelela dan Mun Yee menyumbangkan pingat tidak kesampaian, selepas gandingan penerjun negara itu sekadar menamatkan acara berkenaan di kedudukan kelapan.
Pasangan penerjun negara itu sekadar meraih 277.98 mata, sekali gus gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi Malaysia pada edisi Rio 2016.
Pingat emas acara itu dimenangi gandingan penerjun China, Chen Yuxi dan Zhang Jiaqi yang meraih 363.78 mata.
Pada edisi Rio 2016, Pandelela meraih pingat perak dalam acara terjun 10m platform seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong.
Bagi menebus kekecewaan itu, Pandelela berkata dia akan berusaha sedaya upaya menampilkan aksi terbaik apabila turun bersaing dalam acara 10 meter platform individu pada 4 Ogos ini.
“Ambil ini sebagai pengajaran dan motivasi untuk buat lebih baik semasa latihan dalam beberapa hari ini, dan kekalkan kekuatan mental.
“Saya perlu konsisten dalam setiap terjunan jika mahu berada dalam kedudukan tiga teratas,” kata Pandelela.
Bagi Mun Yee, 36, dia mengakui penyertaan di Tokyo adalah penampilan terakhirnya di pentas Olimpik selepas edisi Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.
Dia berkata penularan pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan persiapan mereka bagi menghadapi temasya sukan kali ini.
“Gerakan seirama kami agak baik, tetapi kami berdua melakukan kesilapan dalam terjunan masing-masing, ini menyebabkan kami tidak dapat mempamerkan aksi terbaik.
“Selalunya sebelum bertanding di Olimpik, kami akan ada latihan pusat di luar negara, tetapi kali ini kami tidak dapat lakukannya, dan pertandingan antarabangsa juga tidak banyak, dan ini sedikit sebanyak menjejaskan persediaan kami,” kata Mun Yee.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai