Zii Jia kandas di tangan Chen Long
Perjuangan jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, di temasya Olimpik Tokyo 2020 berakhir apabila tewas di tangan jaguh China, Chen Long dengan keputusan 21-8, 19-21 dan 5-21, sebentar tadi.
Walaupun berjaya menumpaskan pemain nombor enam dunia itu pada set pertama, Zii Jia yang merupakan anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu tewas dalam saingan sengit set kedua.
Keputusan itu sekali gus mengheret permainan dalam set penentuan yang ternyata memberi peluang buat Chen Long mempamerkan kemampuan sebenarnya.
Terdahulu pada set pertama menyaksikan Zii Jia begitu mudah mengutip mata demi mata sebelum menamatkan saingan yang berpihak kepadanya.
Walaupun mengalami luka kecil di telapak tangan, dia membuktikan betapa wakil Malaysia bukanlah lawan mudah meski berdepan pemain berpengalaman luas seperti Chen Long.
Namun diawal set kedua, Zii Jia, yang merupakan pemain nombor lapan dunia bermula dengan ketinggalan lima mata selepas kesilapan demi kesilapan dilakukan memberikan mata mudah untuk lawannya.
Chen Long pula dilihat semakin agresif seolah-olah mula mengenal pasti titik kelemahan Zii Jia.
Set kedua itu juga menyaksikan betapa Zii Jia berusaha keras untuk bangkit sehingga berjaya menyamakan kedudukan mata 19-19 sebelum nasib tidak berpihak kepadanya.
Sementara itu dalam set ketiga Chen Long tampil meneruskan rentak bertenaga sekali gus memberi jalan sukar kepada Zii Jia.
Permainan set penentuan itu ternyata dikuasai Chen Long yang sedikit pun tidak memberi ruang kepada lawan dengan merekodkan kemenangan bergaya 21-5 sekali gus mara ke peringkat suku akhir.
Keputusan itu sekali gus mengakhiri perjuangan Zii Jia di Tokyo dan pastinya memberi pengalaman mahal tersendiri buat juara All England 2021 itu dalam perjalanan kerjayanya pada masa depan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai