Pandelela ke separuh akhir
Bukan satu permulaan yang baik bagi kedua-dua penerjun negara dalam acara 10 meter (m) platform wanita, apabila Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong gagal mempamerkan prestasi konsisten pada pusingan awal Olimpik Tokyo, hari ini.
Bagaimanapun, Pandelela layak ke peringkat separuh akhir selepas menduduki tempat ke-18 dengan 284.90 mata, manakala Jun Hoong terkandas selepas hanya menduduki tempat ke-26 dengan 251.80 mata.
Pandelela, 28, yang pemenang pingat emas pada Piala Dunia 2021 di venue yang sama pada Mei, bermula baik dengan menduduki tempat keempat dengan 72.0 mata, namun gagal mengekalkan momentumnya apabila hanya mencatatkan 69.90 pada terjunan kedua dan 52.90 mata pada terjunan ketiga.
Keadaan menjadi lebih buruk lagi, apabila Pandelela melakukan kesilapan pada terjunan keempat, dan hanya mendapat 28.80 mata, sebelum berjaya mencatatkan 70.40 mata pada terjunan terakhir dan kembali menduduki tempat ke-18 terbaik.
Namun bagi Juara Dunia 2017 Jun Hoong, terjunan yang kurang baik pada dua terjunan pertama menyebabkan peluangnya ke separuh akhir tertutup dan menamatkan cabaran atlet berusia 31 tahun itu di Olimpik ketiganya sejak Olimpik London 2012.
Selepas catatan rendah dengan 36.0 dan 34.80 pada dua terjunan pertamanya itu, beliau memperbaiki terjunan ketiga hingga kelima dengan 56.7 mata, 65.80 mata dan 57.6 mata, namum ia tidak mencukupi bagi membolehkan beliau berada pada 18 penerjun terbaik.
Menepati ramalan, atlet China Chen Yixu (390.70 mata) dan Quan Hongchan (364.45) mengungguli acara itu di dua tempat teratas, manakala penerjun Amerika Syarikat Delaney Schnell (360.75) ketiga.
18 penerjun terbaik akan bertanding pada separuh akhir pada 10 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia) esok, sebelum 12 penerjun terbaik akan bertanding pada peringkat akhir yang dijadualkan pada jam 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) pada hari yang sama.
Pada 27 Julai lepas, Pandelela berpasangan dengan Leong Mun Yee menamatkan cabaran mereka dalam acara 10m platform seirama pada tempat kelapan, selepas mengumpulkan 277.98 mata.
Pandelela menjadi atlet wanita negara pertama memenangi pingat Olimpik, selepas memenangi pingat gangsa dalam acara 10m platform individu di Olimpik London 2012, dan empat tahun kemudian memenangi pingat perak bersama Jun Hoong dalam acara 10m plaftorm seirama, di Olimpik Rio.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai