Skip to main
Logo Malaysiakini

PM ajak rakyat berdoa pingat emas kembali pada Ziyad

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat Malaysia sama-sama berdoa agar kemenangan pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 melibatkan atlet negara Muhammad Ziyad Zolkefli kekal.

Menerusi catatan di laman Facebook, Ismail Sabri berkata beliau dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan jaguh lontar peluru para negara itu.

"Kepada Ziyad, anda tetap juara di hati kami, memecahkan rekod dunia adalah perkara yang luar biasa! Saya dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan anda!

"Sama-samalah kita berdoa agar kemenangan pingat emas kekal di tangan Malaysia #malaysiaboleh #letlogicprevail,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pingat emas yang dimenangi Muhammad Ziyad dalam acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) ditarik selepas terdapat protes daripada kem Ukraine.

Dalam aksi itu, Ziyad memecahkan rekod dunia selepas melakukan lontaran 17.94 meter sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Berdasarkan semakan di laman Paralimpik Tokyo, ketiga-tiga atlet terbabit mendapat status 'DNS' sekali gus menyebabkan mereka dianggap tidak layak beraksi.

Kem Malaysia, Ecuador dan Australia kemudian telah membuat protes balas terhadap tindakan Ukraine itu tetapi difahamkan protes Ukraine masih diterima.

Ketua Kontinjen Malaysia Megat D Shahriman Zaharudin berkata Malaysia akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan itu esok.

- Bernama