Skip to main
Logo Malaysiakini

Ziyad tak perlu minta maaf, kerajaan wajar tetap beri insentif - Umno

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata atlet paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli tidak perlu meminta maaf kepada rakyat negara ini selepas kemenangannya dibatalkan malam tadi. 

Sebaliknya, Shahril mencadangkan supaya kerajaan tetap mengiktiraf pencapaian Ziyad dengan memberikan insentif mengikut Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang diperuntukkan kepada atlet yang mengharumkan negara.

“Kita perlu memberi penghargaan kepada Ziyad sebagai tanda sokongan terhadap pengorbanannya sekian lama demi negara.

“Saya berharap Ziyad terus berjuang dan bersabar.

"Insya-Allah selepas habisnya sukan paralimpik, kontinjen Malaysia akan tetap menghantar rayuan bantahan kepada penganjur atas keputusan yang tidak adil dan amat tidak mencerminkan semangat kesukanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum kemenangannya dalam meraih pingat emas dibatalkan, Ziyad telah melakukan lontaran yang memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru kategori F20 (masalah pembelajaran).

Bagaimanapun kemenangan itu dibatalkan selepas penganjur menerima bantahan daripada kontinjen Ukraine yang membangkitkan isu kelewatan Ziyad memasuki bilik menunggu (call room) sebelum pertandingan bermula.

Menurut Twitter rasmi Jawatankuasa Penganjur Olimpik dan Paralimpik Tokyo, pembatalan itu dibuat berdasarkan Peraturan 5.5 Atlet Para Dunia yang menyatakan kegagalan melaporkan diri ke bilik menunggu pada waktu yang ditetapkan akan menjadikan keputusan atlet terbabit sebagai DNS (did not start).

Kata Shahril walaupun kemenangannya dibatalkan Ziyad sudah lakukan yang terbaik mengikut kemampuannya di pentas dunia.

"Prestasi anda telah membuatkan rakyat Malaysia bangga dan anda akan sentiasa diingati sebagai atlet yang terhebat dalam pertandingan lontar peluru,” kata Shahril.

Lontaran terbaik Ziyad pada malam tadi ialah 17.94 meter, manakala atlet Ukraine, Maksym Koval, yang diberikan pingat emas susulan daripada pembatalan tersebut mencatatkan lontaran sejauh 17.34 meter.

Seorang lagi atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi, mendapat pingat perak manakala wakil dari Greece, Efstratios Nikolaidis, pula mendapat gangsa.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ti Lian Ker pagi tadi menyatakan Malaysia akan mengemukakan rayuan lanjut kepada World Para Athletics (WPA) dan Majlis Paralimpik Antarabangsa untuk mengiktiraf penyertaan Ziyad dan mencatat keputusan lontarannya. 

Bagaimanapun, menurutnya bantahan itu hanya boleh dilakukan selepas temasya Paralimpik Tokyo 2020 berakhir.

Sementara itu kata Ti negara terpaksa menerima keputusan acara tersebut seperti yang ditetapkan.