Serang atlet paralimpik Ukraine hanya bikin Malaysia malu
Sikap rakyat Malaysia yang gemar menjadi jaguh di media sosial atau disebut sebagai sindrom laskar papan kekunci (keyboard warrior syndrome) sejak sekian lama dilihat kini terbawa-bawa di luar kawalan.
Keadaan itu kata pakar psikologi Prof Hussain Habil mendorong mereka menjadikan atlet paralimpik Ukraine sebagai mangsa kecaman di sebalik hakikat dia tidak bersalah menyebabkan Malaysia terlepas pingat emas acara melontar peluru kelmarin.
Merujuk kontroversi yang melanda atlet Malaysia Muhammad Ziyad Zolkefli yang terlepas pingat emas di temasya Paralimpik Tokyo 2021, Hussain berkata kecaman terhadap Maksym Koval itu adalah kesan emosi gagal dikawal.
Katanya warga net yang mengalami sindrom laskar papan kekunci menyerang pihak lain sebelum mereka dapat mengetahui isu atau kedudukan sebenar.
"Kadang-kadang kita ini emosional (sedangkan) kita tak tahu apa sebenar masalahnya.
"Saya rasa (apa yang berlaku) itu salah tanggapan, maka apabila emosi mengatasi kewarasan jadi macam itulah... kita tuju kemarahan pada sesiapa yang kita anggap silap.
"Tapi orang dah marah, apabila sedang begitu, kata orang when they blow their thought siapa pun dia belasah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu, Malaysia kecewa apabila khabar baik yang datang pada awalnya bertukar menjadi sedih apabila lontaran Ziyad tidak diambil kira kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan penganjur kejohanan Paralimpik Tokyo 2020.
Kesan dilemparkan cacian
Ziyad menyertai acara lontar peluru kategori F20 lelaki dan mencatatkan rekod baru dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter.
Dia diklasifikasikan sebagai DNS (did not start) atau tidak memulakan saingan selepas terlewat tiga minit daripada masa yang diberikan untuk berada di kawasan persediaan.
Asalnya ada pihak mendakwa Ukraine membuat protes atas kemenangan Ziyad namun maklumat lanjut menunjukkan pembatalan itu dibuat oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).
Jurucakap IPC memberitahu Ziyad dibenarkan membuat lontaran sementara penganjur meneliti rayuan yang dikemukakan kontinjen Malaysia.
Bagaimanapun IPC mendapati rayuan tersebut tidak diterima sekali gus penyertaan - serta lontaran - Ziyad tidak direkodkan.
Susulan keputusan itu netizen Malaysia segera bertindak menyerang media sosial Koval dengan pelbagai kata-kata kutukan, ejekan dan kejian termasuk membabitkan keadaan fizikal atlet terbabit.
IPC juga menyatakan rasa kesal mereka atas tindakan warganet Malaysia melemparkan cacian ke atas Koval serta Majlis Paralimpik Ukraine.
Hussain berkata, jika seseorang berada dalam keadaan marah perasaan itu boleh mengatasi kewarasan.
"Jadi kepada sesiapa dia rasa boleh arahkan emosi itu dia bantai saja, dan kita ini biasalah ramai keyboard warrior.
"Keyboard warrior syndrom itu dah lama pada kita, dah jadi biasa. Ini salah salah satu daripada cirinya," kata ahli akademik itu.
Anggap Ziyad teraniaya
Hussain juga berpendapat orang ramai sepatutnya menganalisis dulu apa yang berlaku serta memahami keadaan isu berkenaan sebelum membuat pertimbangan.
"Jika tidak kita yang akan menangung malu," jelasnya.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Dr Fauziah Mohd Saad, pula berkata orang yang menyerang atlet Ukraine itu berada kecewa selepas mengharapkan negara mendapat pingat emas.
"Apabila perkara toksik itu ada dalam pemikiran ia akan menyebabkan seseorang terdorong membuat pertimbangan tidak rasional.
"Dia (warganet) rasa dah menang kemudian ditarik balik, dia jadi tidak rasional. Bila kognitif kita ada sekatan seperti ini ia akan mengganggu emosi dan tingkah laku," katanya.
Tambahnya, tindakan mengecam Koval itu adalah tidak wajar sama sekali malah memburukkan imej negara.
"Sebagai rakyat kita perlu menghormati keputusan yang dibuat dan bukannya mengambil tindakan melulu.
"Kita harus objektif sebab saya faham tujuan mereka serang itu untuk mendapatkan 'keadilan' selepas berasa Ziyad teraniaya," jelas Fauziah.
Untuk rekod 'serangan' warganet ke atas media sosial asing bukanlah baru. Semasa Israel menyerang Gaza pertengahan Mei lalu, akaun media sosial tentera rejim Zionis itu dijadikan sasaran kemarahan orang Malaysia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai