Skip to main
Logo Malaysiakini

Liek Hou rangkul emas kedua M'sia di Paralimpik Tokyo 2020

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu hari yang penuh bersejarah buat sukan badminton Malaysia.

Juara dunia enam kali, Cheah Liek Hou menjadi pemenang pingat emas badminton yang pertama Sukan Paralimpik, selepas menewaskan musuh utamanya Anrimusthi Dheva dari Indonesia pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) hari ini.

Badminton buat pertama kalinya dipertandingkan pada Sukan Paralimpik di Tokyo.

Pemain nombor dua dunia itu menewaskan Dheva pemain pilihan pertama Paralimpik 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

Pada set pertama, kesilapan yang dilakukan pemain nombor satu dunia itu membolehkan Liek Hou mendahului 5-0, sebelum pemain indonesia itu mengejar hingga ke kedudukan 8-5.

Selepas mendahului dengan selesa 11-5 sebelum rehat antara perlawanan, Liek Hou tidak dapat menggunakan kelebihan enam mata yang dimilikinya sehingga membenarkan Dheva menyamakan kedudukan 15-15, sebelum pemain kebangsaan itu berjaya memperbaiki kedudukan dengan menghasilkan pukulan smash yang kuat bagi mendapatkan mata akhir dan menang set pertama, 21-17.

Set kedua memperlihatkan perlawanan sengit dengan kedua-dua pemain berkedudukan rapat sebelum Liek Hou berjaya mendahulu 11-10 sebelum rehat antara perlawanan.

Selepas itu Liek Hou tidak lagi menoleh ke belakang dan terus menunjukkan permainan yang terbaik bagi menyerap serangan Dheva sebelum memastikan pingat emas miliknya dengan memenangi set kedua, 21-15.

Sebaik memang, Liek Hou kemudiannya merebahkan dirinya di atas gelanggang untuk seketika dan kemudiannya menerpa ke arah jurulatihnya Rashid Sidek bagi meraikan kejayaan cemerlangnya di Paralimpik itu.

Kemenangan hari ini juga membolehkan Liek Hou mengekalkan rekodnya lima perlawanan tanpa kalah di Sukan Paralimpik, termasuk tiga kemenangan pada peringkat Kumpulan B.

Terdahulu pada peringkat separuh akhir hari ini, pemain berusia 33 tahun itu berjaya mengalahkan pemain Taiwan Fang Jen-yu walaupun tewas set pertama 15-21, sebelum memenangi set sedua dan set penentuan 21-10, 21-16, dan layak ke perlawanan akhir.

Kemenangan pemain berasal dari Kuala Lumpur itu bermakna Malaysia kini mempunyai dua pingat emas selepas emas pertama dimenangi atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) pada 28 Ogos.

Selain itu kontinjen negara juga memperolehi dua pingat perak menerusi rakan sepasukan Bonnie, Jong Yee Khie dalam acara 107kg pada Isnin (30 Ogos) dan Chew Wei Lun dalam sukan boccia individu campuran BC1 (kecacatan fizikal) pada Rabu (1 Sept).

Pingat gangsa bagi acara badminton itu dimenangi seorang lagi pemain Indonesia Suryo Nugroho, yang menewaskan Jen-yu 21-16, 21-9, dalam masa 41 minit.

-Bernama