Skip to main
Logo Malaysiakini

Perak FC mohon maaf pada peminat tersingkir dari Liga Super

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perak FC memohon maaf kepada penyokong dan peminat The Bos Gaurus kerana gagal mempertahankan rekod untuk kekal bersaing dalam kancah bola sepak Liga Super musim hadapan.

Pengurus Besar Perak FC Azman Noh berkata pihaknya turut merasai kekecewaan itu dan lebih perit ia berlaku sempena sambutan 100 tahun pasukan pada tahun ini.

“Saya telah cuba melakukan sebaik mungkin untuk mempertahankan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang belum pernah jatuh daripada Liga Super sejak diperkenalkan pada 2004.

Peristiwa yang terpahat dalam sejarah Perak FC ini membawa 1,001 makna kepada pasukan, paling mustahak ia merupakan satu pengajaran paling bermakna untuk kita bangkit,” katanya melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Perak FC, hari ini.

Jumaat lepas, skuad bimbingan Mohd Shahril Nizam Khalil itu sah tersingkir ke Liga Premier selepas tumpas 1-2 kepada Melaka United dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Kekalahan itu juga menyaksikan The Bos Gaurus kini berada di kedudukan kedua tercorot daripada 12 pasukan yang bertanding dengan mengumpul 13 mata hasil tiga kemenangan, empat seri dan 14 kekalahan.

Azman berjanji Perak FC akan bangkit selain meletakkan sasaran untuk muncul juara Liga Premier sekali gus kembali bersaing dalam kancah Liga Super pada musim berikutnya.

Katanya proses penswastaan sepenuhnya juga akan dilakukan oleh Perak FC bagi membentangkan hala tuju pasukan dengan terperinci untuk jangka masa pendek serta panjang, dalam masa terdekat.

“Ayuh kita sama-sama bangkit dengan lebih bergaya kerana ini bukan pengakhiran bagi Perak FC sebaliknya permulaan untuk sesuatu yang lebih hebat, katanya.

Tungakan gaji pemain

Sementara itu, pemain Perak FC Amirul Azhan Aznan mendakwa isu tunggakan gaji pemain menjadi antara punca yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi The Bos Gaurus.

“Isu tunggakan gaji perlu dipandang serius. Ia turut menjatuhkan motivasi pemain sehingga ramai tonggak utama terpaksa melangkah keluar bagi memastikan kerjaya mereka berjalan lancar,” dakwanya.

Beliau mendakwa para pemain sedia ada juga telah memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan Perak FC kekal dalam Liga Super namun ia tidak berlaku sepertimana yang telah dirancang.

“Jangan mempersoalkan perihal jiwa kerana perkara ini sangat subjektif dan perlu diperhalusi pelbagai faktor sebelum mempertikaikannya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya beliau berharap pengurusan terkini yang diterajui Pengurus Besar Perak FC Azman Noh dan Pengurus Perak FC Mohd Rashidi Abdul Rahim akan kekal seiring dengan matlamat bagi memastikan The Bos Gaurus dapat kembali ke Liga Super.

- Bernama