Skip to main
Logo Malaysiakini

Gimnasium di negeri Fasa 2, 3 dibuka mulai esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gimnasium yang terletak di negeri dalam fasa 2 dan ke atas Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dibuka semula kepada mereka yang telah melengkapkan vaksinasi bermula esok.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Ti Lian Ker berkata prosedur operasi standard (SOP) tambahan khusus untuk gimnasium dan sukan tertutup akan diumumkan secepat mungkin.

"Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal membabitkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka (outdoor) dan tertutup (indoor) dibenarkan kepada individu yang lengkap vaksin.

"Esok, gimnasium dan sukan 'indoor' (bagi negeri Fasa 2 ke atas) sudah boleh bermula, SOP akan dimaklumkan Majlis Sukan Negara (MKN) dan KBS sedikit masa lagi.

"Jadi buat masa ini tiada isu pembukaan gimnasium pada fasa dibenarkan cuma sedang menunggu SOP tambahan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dia berkata demikian pada sidang media Kempen Derma Darah anjuran Youth Gopeng sempena Sambutan Hari Malaysia di sebuah pusat beli belah di Ipoh hari ini.

Ti berkata, penyediaan SOP di peringkat akhir dan sedang menunggu makluman lanjut berhubung SOP tambahan khusus untuk gimnasium dan sukan tertutup berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti sukan bersentuhan akan dibenarkan di kemudahan sukan dalaman dan luar di negeri-negeri di bawah Fasa 2 dan Fasa 3 PPN, dengan syarat kemudahan ini dipantau oleh kakitangan dan peserta sudah divaksin sepenuhnya.

Bermula esok, negeri dan wilayah yang diletakkan di bawah Fasa 2 adalah Kelantan, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Negeri di Fasa 3 PPN pula ialah Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sarawak.