Skip to main
Logo Malaysiakini

Jijoe kecewa sikap buang sampah merata-rata

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menyuarakan kekecewaannya dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak menjaga keindahan tempat peranginan dengan membuang sampah merata-rata.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Mohd Azizulhasni berkata, situasi sebegitu sepatutnya tidak lagi berlaku.

"Kita ni dah masuk tahun 2021...Tak kan lah bila bab keluar pergi mana-mana tempat, masih tak reti nak buang sampah di tempat yang sepatutnya?

"Setelah mengembara ke serata pelusuk dunia, saya belajar pelbagai perkara. Antaranya kesedaran sivik.

"Kita sebagai manusia, belajar pandai ke tak pandai tu nombor dua, yang penting sekali akhlak kita," katanya.

Selepas kelonggaran untuk merentas daerah dan bercuti dalam negeri, tempat peranginan seperti air terjun mula menjadi tumpuan orang ramai dengan gambar keadaan sesak tular di media sosial.

Begitu juga gambar sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung. Azizulhasni turut berkongsi satu gambar yang menunjukkan keadaan sedemikian dalam hantarannya.

Dia berkata, segelintir orang Malaysia tidak seharusnya menjadi "keyboard warrior" sahaja tetapi gagal dalam soal kebersihan.

" Saya rasa diri saya ni hina sangat kalau saya buang sampah membuta tuli macam tu je. Kena bermaruah sikitlah.

"Jangan malukan status kita sebagai ‘keyboard warrior’ terbaik dunia. Jangan bab orang buat salah saja kita cepat menghentam. Kalau kita buat salah pula, kenalah bersikap terbuka, terima dan cuba perbaiki mana yang boleh, bukan begitu?" katanya lagi.