Skip to main
Logo Malaysiakini

Tunggakan cukai KFA kini cecah RM10 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini diberitahu jumlah tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini meningkat kepada RM10 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata jumlah itu diperolehi selepas pihak LHDN membuat semakan semula dokumen berkaitan penggajian dari 2014 sehingga 2019, pada Mac lepas.

“Semakan tersebut mendapati KFA mempunyai tunggakan PCB/CP38 (Potongan Caruman Berjadual). Jumlah tunggakan PCB/CP38 itu telah meningkat kepada RM10 juta,” katanya dalam sesi penggulungan di sidang DUN Kedah di Alor Setar hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat KFA berkata tunggakan tersebut meliputi tunggakan PCB pemain import yang terdahulu.

Menurutnya, sebelum ini KFA mempunyai tunggakan PCB/CP38 lebih RM3.4 juta, tidak termasuk kompaun yang ditinggalkan oleh pengurusan lama persatuan itu.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media selepas sidang DUN berkata semasa mula memegang jawatan sebagai Presiden KFA Julai tahun lepas, persatuan itu mempunyai tunggakan gaji pemain serta dengan badan berkanun iaitu LHDN dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Masa itu kerajaan negeri dapat melunaskan RM15 juta untuk tunggakan dan gaji semasa pemain, tunggakan di KWSP dan LHDN dijadualkan semula bayaran.

“Tapi tiba-tiba bila nak dapatkan lesen baharu pemain untuk musim depan, kita diminta kemukakan dokumen pelesenan yang diperlukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia

(FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan dikejutkan dengan tuntutan baharu (LHDN) berjumlah RM10.4 juta, iaitu cukai pendapatan para pemain yang tidak dijelaskan,” katanya.

Menurut beliau jika KFA gagal menjelaskan tunggakan tersebut ia akan memberi kesan kepada proses pelesenan, kerana kelulusan lesen perlu mendapat pelepasan daripada LHDN.

“KFA beroperasi untuk kemajuan sukan berasaskan tanggungjawab sosial penaja dan tidak buat keuntungan, kerana KFA bukan badan perniagaan yang menjana keuntungan.

“Lagipun semua ini adalah tunggakan lama…yang semasa (terkini) tiada tunggakan jadi saya dah berunding untuk mohon hapus kira (tunggakan) atas sebab kegagalan mereka (LHDN) pada masa dahulu, yang tak kutip tunggakan pada masa itu, sekarang KFA bagi kerjasama baik baru nak kutip mana boleh,” katanya.

- Bernama