Skip to main
Logo Malaysiakini

Kabinet belum putuskan ganjaran buat Ziyad - Ahmad Faizal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jemaah menteri masih tidak membuat sebarang keputusan mengenai ganjaran kepada jaguh lontar peluru paralimpik kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli yang menang pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebelum ditarik balik.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berkata Ziyad masih mendapat insentif daripada kerajaan.

"Saudara Ziyad masih mendapat insentif daripada kerajaan untuk kejayaan sebelum ini.

"Ganjaran untuk beliau atas apa yang berlaku di Tokyo 2020 belum diputuskan," katanya kepada Malaysiakini.

Demikian katanya ketika diminta mengulas berhubung cadangan kementerian belia dan sukan sebelum ini bahawa akan mencadangkan kepada kabinet mengenai ganjaran setimpal kepada Ziyad bagi menghargai pencapaiannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung Ogos 2021.

Namun, kejohanan itu digemparkan dengan insiden mengejutkan selepas Muhammad Ziyad, 31, dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod dunia baru.

Dia telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Insiden itu menyaksikan Muhammad Ziyad terlepas ganjaran berjumlah RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Sebelum ini media melaporkan gesaan beberapa pihak berhubung pemberian ganjaran Shakam kepada Muhammad Ziyad sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan pencapaiannya di Tokyo.