Skip to main
Logo Malaysiakini

Corat-coret Piala Thomas/Uber dari Aarhus

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Akhirnya, benua Eropah menjadi tuan rumah kejohanan badminton Piala Thomas dan Uber selepas hampir empat dekad sejak edisi 1982 di England.

Kejohanan berprestij itu pertama kalinya berlangsung di Aarhus, Denmark tahun ini selepas terpaksa ditangguh selama setahun ekoran kebimbangan penularan COVID-19.

Bagaimanapun, Denmark, selaku tuan rumah, berdepan dengan cabaran norma baharu untuk menganjurkan semasa tempoh peralihan daripada pandemik kepada endemik.

Kejuaraan lelaki dan wanita berpasukan ini berlangsung di bandar raya kedua terbesar Denmark iaitu Aarhus di semenanjung Jutland di negara itu. Anggaran 345,000 penduduk, kebanyakan tempat di bandar raya ini seperti kedai, stesen kereta api, kawasan pantai, pelabuhan dan kawasan hutan adalah dalam jarak berjalan kaki atau maksimun perjalanan 15 minit dengan berbasikal.

Keindahan yang dicetuskan melalui kemahiran seni bina lama dan moden Denmark, landskap pantai yang menawan, keadaan cuaca yang sejuk serta sajian pastri tempatan memukau selera, perjalanan udara lebih 24 jam (termasuk dua transit) dari Kuala Lumpur ke Aarhus bagi penulis adalah berbaloi.

Berikut adalah corat-coret pada pusingan akhir Piala Thomas dan Uber dari 9 hingga 17 Okt ini yang berlangsung di gelanggang Arena Ceres di sini yang mempunyai kapasiti 5,000 penonton.

Bebas pelitup muka

Denmark adalah antara negara benua Eropah yang telah menarik balik sebahagian besar sekatan berkaitan COVID-19 dan hampir sifar larangan bagi penduduk tempatan termasuk pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Berikutan lebih 85 peratus penduduk melengkapkan vaksinasi dan kes harian sekitar 300 hingga 600 kes seperti tertera dalam laman web Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark www.sst.dk, kehidupan harian dapat dilihat kembali normal dengan rakyat keluar tanpa pelitup muka dengan kemudahan sanitasi tangan tersedia di tempat awam.

Kadang-kadang memakai pelitup muka di jalan raya atau menikmati sarapan di hotel, akan mengundang pandangan pelik daripada orang tempatan. Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka adalah wajib di lapangan terbang dan ketika berada dalam pesawat.

Terdapat juga beberapa sekatan untuk orang asing yang memasuki Denmark berdasarkan kewarganegaraan dan status vaksinasi.

Susulan Malaysia dikategorikan dalam senarai oren COVID-19 (kategori lain ialah hijau, kuning dan merah), maka rakyat Malaysia memerlukan bukti keputusan negatif COVID-19 dan surat tujuan layak masuk ke negara itu walaupun Denmark adalah bebas visa untuk rakyat Malaysia.

Seandainya, anda belum menerima vaksinasi lengkap, anda perlu menjalani ujian saringan pantas secara percuma sebaik tiba di lapangan terbang dengan keputusan dijangka diketahui dalam beberapa minit sahaja.

Bagi orang awam yang perlu mengambil ujian saringan, pihak berkuasa kesihatan menawarkan kemudahan itu secara percuma tanpa mengira status kewarganegaraan di semua kemudahan yang tersedia dan hasil keputusan dimaklumkan dalam talian di laman web www.covidresults.dk.

Protokol ketat kejohanan

Biarpun negara itu memberi kelonggaran terhadap sekatan COVID-19 kepada penduduk tempatan namun ‘kebebasan’ itu masih sukar bagi pemain, jurulatih dan pegawai terlibat dalam kejohanan tersebut kerana Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menetapkan protokol keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) demi jaminan kesihatan semua perserta.

Ia termasuk kuarantin selama tiga hari dan ujian air liur semasa tiba di hotel penginapan.

Peserta juga perlu menjalani dua lagi ujian berdasarkan kemaraan pasukan dalam kejohanan selain berada dalam gelembung sukan sehingga hari terakhir kejohanan. Ini bermakna setiap peserta hanya dibenarkan untuk bersiar di jalanan tetapi dilarang pergi ke pasar raya serta makanan akan dihantar ke hotel penginapan.

Dalam pada itu, tiada penghantaran makanan dibenarkan di venue pertandingan manakala pesanan untuk satu hidangan perlu ditempah sehari lebih awal melalui penganjur pada harga 100 Danish Krone (DKK) (kira-kira RM65) setiap hidangan.

Selain itu, setiap peserta kejohanan wajib memakai pelitup muka sepanjang masa di semua tempat kecuali semasa latihan dan semasa menjamu selera. Masuk ke tempat pertandingan dan semua laluan di dalam venue berkenaan dilabelkan sebagai zon hijau dan merah bagi mengurangkan risiko COVID-19.

Zon hijau dikhaskan untuk pemain, pegawai dan lain-lain yang mempunyai kontak dengan pemain termasuk petugas media manakala penonton ditempatkan di zon merah.

Mereka yang gagal mematuhi protokol berkenaan berdepan dengan risiko kad akreditasi mereka dibatalkan.

Cuaca

Walaupun negara Scandinavia berada di musim luruh pada bulan Oktober, cuaca di Denmark masih sangat sejuk untuk rakyat Malaysia yang biasa dengan iklim tropika. Suhu di Aarhus sejak beberapa hari lalu adalah sekitar 8 hingga 15 darjah Celcius pada waktu siang dengan hujan sekali-sekala manakala ia boleh turun sehingga tiga darjah Celcius pada waktu malam.

Memandangkan kebanyakan tempat dilengkapi dengan sistem pemanas dalam bangunan, maka sesiapa sahaja boleh tinggal dalam kawasan bangunan dengan selesa tanpa memerlukan pakaian musim sejuk.

Bagaimanapun, sebaik sahaja anda melangkah di luar, cabaran suasana sejuk menanti anda khususnya ketika tiupan angin sejuk dari Teluk Aarhus.

Penduduk tempatan sentiasa berpakaian segak dan bergaya dengan kot labuh atau sekurang-kurangnya jaket atau ‘sweater’. Jika anda merancang melakukan perjalanan ke Denmark, pastikan anda membawa kot labuh, jaket kalis air serta pakaian musim sejuk.

Rakyat Denmark gemar berbasikal

Seperti dimaklumkan, kebanyakan tempat di bandaraya Aarhus berada dalam jarak berjalan kaki. Berjalan kaki dan berbasikal boleh dianggap sebagai aktiviti paling digemari oleh penduduk tempatan dari awal pagi hingga lewat malam.

Bandar raya padat dengan laluan dirancang dengan baik serta jalan yang kurang curam, Aarhus kelihatan sesuai untuk aktiviti berjalan kaki dan laluan khas untuk berbasikal.

Selain itu, kemudahan pengangkutan awam seperti tren antara bandar, rel ringan dan bas mudah untuk diakses serta ramai penduduk tempatan juga menggunakan kereta.

Denmark merupakan negara kelima kos sara hidup termahal di dunia selepas Switzerland, Norway, Iceland dan Jepun pada 2020.

- Bernama