Skip to main
Logo Malaysiakini

Piala Thomas: M'sia tewas melawan, bermaruah, kata Rashid

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Legenda badminton negara Rashid Sidek memuji semangat melawan barisan pemain muda negara biarpun ditunjukkan jalan keluar oleh Indonesia di pusingan suku akhir kempen Piala Thomas di Aarhus, Denmark, semalam.

Malah, Rashid menyifatkan sebenarnya Indonesia yang dipaksa bekerja keras pada pertembungan itu sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan kejayaan 3-0.

Katanya, ia menunjukkan barisan pemain muda negara yang kurang pengalaman beraksi pada kejohanan berintensiti berjaya memberikan tentangan yang sengit sekali gus tewas dengan melawan dan bermaruah.

"Saya nampak kalah itu bukan kalah yang senang, kebanyakan kalah tu mereka kalah betul-betul. Mereka bagi semangat yang tinggi dan main bermati-matian.

"Kita tahu pemain kita rata-ratanya masih muda dan pertama kali beraksi pada Piala Thomas jadi kita tidak boleh meletakkan jangkaan tinggi untuk kalahkan Indonesia," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan BT Bina Group Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini.

Rashid yang merupakan sebahagian daripada skuad yang menjulang Piala Thomas buat kali terakhir untuk negara pada 1992 di Kuala Lumpur berkata persembahan ditampilkan di Aarhus itu memberikan petanda yang positif menjelang edisi Piala Thomas selepas ini.

Pada aksi suku akhir, Malaysia bermula langkah kiri apabila Zii Jia tewas 15-21, 17-21 kepada pemain nombor lima dunia, Anthony Sinisuka Ginting, manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah 17-21, 16-21, 15-21 kepada gandingan nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Juara 13 kali Indonesia mengesahkan kemenangan menerusi Jonatan Christie yang menewaskan Ng Tze Yong 14-21, 21-19, 21-16, dan bakal bertemu Denmark esok dalam misi menamatkan kemarau pingat selepas kali terakhir muncul juara pada 2002.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi dua `ubi muda’ Tze Yong, 21, dan Leong Jun Hao, 22, di Aarhus, Rashid berkata kedua-duanya mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan.

"Mereka ada bakat yang bagus dan semangat berjuang yang bagus...besar kemungkinan mereka akan menjadi pemain dalam kelompok 10 terbaik di dunia sekiranya mereka betul-betul berusaha dan berlatih dengan gigih untuk capai sasaran itu," katanya.

Dalam pada itu, majlis anugerah tersebut menyaksikan jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou dan Rashid sebagai jurulatihnya menerima durian runtuh apabila dihadiahkan sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur, susulan kejayaan merangkul pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Ia disumbangkan BT Bina Group selaku pemaju hartanah, selain syarikat itu turut memberikan tajaan RM250,000 kepada setiap seorang setahun bagi tempoh sehingga 2024.

-Bernama