Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Tak apa YB, saya dah faham senario sebenar’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas beberapa siri ciapan dibuat Pandelela Rinong dan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berhubung isu gangguan seksual dibuat jurulatih atlet terbabit, isu tersebut nampaknya diselesaikan secara baik.

Ini kerana menurut Pandelela, dia telah faham perkara sebenar di sebalik kenyataan kontroversi Ahmad Faizal selepas menonton rakaman video sidang media yang dimaksudkan itu.

“Tak apa YB @PejaOfPerak , saya sudah faham senario sebenarnya selepas menonton video ini,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Dia berkata demikian sebagai respon kepada ciapan Ahmad Faizal yang menjelaskan maksud sebenar di sebalik kenyataannya berhubung isu tersebut semalam.

“Saya langsung tidak mempersoalkan apa yang diadukan oleh @Pandelela_R apa yang saya katakan adalah untuk mengetahui lebih lanjut apa yang berlaku.

“Ini adalah perkara yang amat serius, kita harus memastikan persekitaran yang selamat untuk para atlet kita. Lela, saya bersama dengan anda,” ciap bekas menteri besar Perak itu sambil memasukkan pautan video sidang media tersebut.

Pandelela kemudian berterima kasih kepada Ahmad Faizal dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana bersedia untuk mendengar dan menyiasat perkara berkenaan.

Semalam, Ahmad Faizal dilaporkan mempersoal mengapa Pandelela membangkitkan isu salah laku seksual oleh bekas jurulatihnya yang telah lama berlaku.

“Saya hanya nak faham keseluruhan senario, kenapa tiba-tiba, setelah sekian lama, Lela (Pandelela) keluar kenyataan melalui sosial media beliau,” soalnya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today

Pandelela kemudian membalasnya di Twitter menjelaskan bahawa tujuannya berkongsi pengalamannya mengenai gangguan seksual itu untuk memberi sokongan dan menggalakkan mangsa lain untuk bersuara. 

Bagaimanapun hari ini ketika di Dewan Rakyat, Ahmad Faizal berkata kenyataannya itu telah dibahas di luar konteks

Jelasnya, maksud sebenarnya adalah agar KBS mendapatkan penjelasan lanjut daripada Pandelela serta pihak lain yang didakwa terlibat dalam perkara itu.