Skip to main
Logo Malaysiakini

Solskjaer bukan lagi pengurus Manchester United

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Manchester United mengumumkan Ole Gunna Solskjaer tidak lagi menjadi pengurus kelab bola sepak itu, susulan prestasi buruk yang ditunjukkan pada musim ini.

Pengumuman itu dibuat dalam laman rasmi kelab bola sepak itu sehari selepas Manchester United ditundukkan oleh pasukan di tangga ke-16 liga, Watford dengan keputusan 4-1, semalam.

"Manchester United mengumumkan yang Ole Gunnar Solskjaer telah melepaskan jawatannya sebagai pengurus.

"Ole sentiasa merupakan seorang legenda di Manchester United dan kami kesal dengan keputusan sukar ini.

"Sementara beberapa minggu ini agak mengecewakan, ia tidak seharusnya memadamkan sumbangan yang telah dilakukannya sepanjang tiga tahun bagi membina semula asas demi kejayaan jangka panjang," menurut kenyataan itu.

Manchester United kini di tangga ketujuh liga dengan 17 mata, setelah 12 perlawanan dan tewas dalam empat daripada lima perlawanan terakhir liga.

Ia termasuk kekalahan dengan musuh tradisinya iaitu Manchester City dan Liverpool - kedua-duanya di gelanggang sendiri.

Kenyataan itu juga mengumumkan seorang lagi bekas pemain, Michael Carrick akan menggantikan Solskjaer untuk sementara. Carrick sebelum ini merupakan sebahagian daripada pasukan kejurulatihan di Old Trafford.

Gergasi bola sepak Inggeris itu menyuarakan penghargaan kepada Solskjaer.

"Tempatnya dalam sejarah kelab akan berkekalan, bukan sahaja untuk peranannya sebagai pemain, tetapi sebagai individu hebat dan pengurus yang menghadiahkan kenangan indah buat kita.

"Dia akan sentiasa dialu-alukan di Old Trafford sebagai sebahagian daripada keluarga Manchester United," kata kenyataan itu lagi.