Jawapan TMJ kepada 'HAHAHA': ‘Esok saya masih TMJ’
Selepas kekalahan juara bertahan dan pasukan pilihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tangan KL City FC, ramai warga maya yang nakal mengambil kesempatan menyindir pasukan terkenal dan kaya itu.
Bagaimanapun, seorang daripada mereka mendapat perhatian pemilik JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Dia ialah pengguna Twitter yang menggunakan nama “Khairi hear the people sing Waving black flag”.
Dia memuat naik ketawa panjang bersambung-sambung yang diselit dengan beberapa perkataan disembunyikan iaitu “lauk la”, “borong player” dan “goyang pemdrive”, yang dilihat menyindir JDT.
Terkesan dengan tindakan itu, Tunku Ismail menjawabnya di bebenang sama dengan menceritakan betapa hidupnya diberkati.
Baginda juga menegaskan JDT sudah memenangi 18 piala dalam tempoh lapan tahun terakhir.
“Haha… Encik, esok pagi saya masih Tunku Mahkota Johor. Still $. 18 Piala dalam 8 tahun. Allah kurniakan saya dengan empat wonderful Kids/anak and a wonderful wife.
“Kamu boleh gelak hari ini/sementara, tetapi saya akan gelak pada masa akan datang. blessed/diberkati. Palms up together, (bersyukur),” tulisnya.
KL City menjulang Piala Malaysia tahun ini selepas menundukkan JDT 2-0 dalam perlawanan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.
Kejayaan skuad bimbingan Bojan Hodak itu sekali gus menamatkan kemarau panjang skuad ibu kota yang terpaksa menunggu selama 32 tahun untuk menjuarai trofi tersebut.
Saya turut gembira - Sanusi
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini terlibat dalam insiden sindir-menyindir dengan TMJ, juga berkaitan bola sepak tanah air, dilihat turut mengulas perlawanan malam tadi.
“Siapa ada gambar rimau jalan tersipu-sipu?” sindirnya di media sosial.
Dia juga mengucapkan tahniah kepada KL City.
“...saya dan jutaan peminat bola sepak tumpang gembira,” katanya.
Pertikaian mereka sebelum ini bermula selepas Tunku Ismail menyifatkannya “kepala pistol” dan bertanya bila tunggakan gaji pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan dibayar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai