Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes Kean Yew kerugian buat negara - Roslin Hashim

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas pemain badminton perseorangan negara Roslin Hashim menganggap penyertaan Loh Kean Yew mewakili Singapura sebagai kerugian kepada kem badminton kebangsaan.

Bagaimanapun, katanya, sekarang bukan masanya untuk menyalahkan mana-mana pihak, lapor Bernama.

“Bukan masanya hendak salahkan sesuatu pihak… mungkin kehendak dia sebab Singapura beri biasiswa dan Kean Yew ambil peluang.

“Mungkin dia nampak di sini susah hendak masuk skuad kebangsaan,” dia dipetik sebagai berkata kepada agensi berita nasional.

Pemain 20-an  daripada Pulau Pinang itu menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2021.

Pemain ranking ke-22 dunia itu merangkul gelaran juara dunia selepas mengalahkan K Srikanth dari India 21-15, 22-20 pada aksi final yang berlangsung di Palacio de los Deportes Carolina Marin, Sepanyol, pada Ahad lepas.

Kejayaan itu menyaksikan Kean Yew muncul pemain pertama Singapura merangkul gelaran juara dunia manakala wakil Malaysia masih belum pernah memenangi kejohanan dunia.

Kean Yew dilapor dilahir dan dibesarkan di Malaysia sebelum Persatuan Badminton Singapura (SBA) menawarkannya biasiswa di Sekolah Sukan Singapura ketika berusia 12 tahun.

Sementara itu, Roslin percaya kejayaan Kean Yew itu daripada usia keras walaupun bukan pemain pilihan untuk memenangi kejohanan kali ini.

‘Buka mata, BAM’

Roslin dalam masa sama mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka mata terhadap kejayaan Kean Yew itu demi hala tuju dan kegemilangan sukan badminton pada masa depan.

Pada edisi kali ini, hanya pasangan beregu lelaki profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih gangsa pada aksi separuh akhir Sabtu lepas selepas kecundang kepada beregu keempat dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 12-21, 9-21.