Skip to main
Logo Malaysiakini

Pejabat Pesuruhjaya Sukan tak pernah keluar kenyataan ikraf teraju Pafa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan dalam menentusahkan atau mengiktiraf mana-mana pihak menerajui Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Malah, PJS dalam kenyataannya memaklumkan, mereka sehingga kini masih belum menerima sebarang laporan mengenai kongres luar biasa (EGM) 14 ahli gabungan Pada pada 19 Dis lepas.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan sebuah akhbar semalam bahawa PJS mengiktiraf EGM anjuran ahli gabungan Pafa itu.

“Kenyataan yang mendakwa pesuruhjaya sukan membuat keputusan bahawa pemecatan 12 ahli gabungan persatuan itu tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan dan mengiktiraf EGM Pafa anjuran 14 ahli gabungan pada 19 Dis 2021 adalah tidak tepat.

“Adalah wajar PJS meneliti terlebih dahulu laporan tersebut dan membuat semakan sebelum membuat sebarang keputusan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, PJS mengesahkan menerima kunjungan daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Perak mewakili ahli gabungan Pafa bagi membuat aduan mengenai pemecatan ahli gabungan yang didakwa dibuat tidak mematuhi perlembagaan pada 9 Dis lalu.

Sehubungan itu, PJS memberitahu, mereka mengadakan perjumpaan dengan pihak berkaitan pada 20 Dis bagi mendapatkan penjelasan dan dokumen sokongan bagi menentusahkan dakwaan dibuat.

PJS pada masa sama menyarankan agar mana-mana pihak yang bertelagah agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan dan merujuk kepada mereka bagi mendapatkan maklumat tepat.

- Bernama