Skip to main
Logo Malaysiakini

Sekat atlet Israel: NGO anggap MOM takut bayang-bayang sendiri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekumpulan 29 NGO menyelar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung kenyataan pemimpin kanan badan itu berkenaan risiko Malaysia kehilangan hak menjadi tuan rumah ekoran halangan ke atas atlet Israel menyertai kejohanan sukan.

Menurut mereka, kenyataan presiden MOM Mohamad Norza Zakaria dan setiausaha agungnya Mohammad Nazifuddin Najib memberitahu amaran yang dikatakan daripada Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC).

Sedangkan, kata NGO terbabit, amaran berkenaan hanya dilaporkan akhbar Israel.

“Ia langsung tidak dilaporkan oleh mana-mana agensi berita yang lain.

“Oleh yang demikian, kemungkinan besar berita tersebut sebahagian daripada propaganda rejim Zionis untuk memberi tekanan ke atas Malaysia dan mana-mana negara yang berusaha untuk memboikot Israel,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

NGO terbabit juga menyifatkan kepemimpinan MOM “takut dengan bayang-bayang sendiri” apabila terburu-buru mengeluarkan kenyataan yang pesimis, sedangkan IOC belum membuat kenyataan rasmi dan belum menghubungi kerajaan Malaysia mengenai isu tersebut.

Awal bulan lalu, portal berita Israel The Jerusalem Post berkata ia menerima surat IOC yang menggesa persekutuan sukan antarabangsa untuk memastikan atlet dari semua negara dapat bertanding dan dilayan dengan sama rata tanpa sebarang diskriminasi politik.

Ada beri bayangan

Laporan itu menyatakan IOC mahu persekutuan sukan mendapatkan “jaminan bertulis” daripada kerajaan masing-masing dan memastikan jaminan berkenaan dipenuhi, dengan memetik halangan kemasukan atlet Israel untuk ke Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia di Malaysia dan halangan penyertaan pasukan Kosovo ke Kejohanan Tinju Dunia AIBA di Serbia.

IOC dilaporkan berkata ia mahu bekerjasama dengan kedua-dua negara untuk mencapai penyelesaian jangka panjang, dan “kegagalan (mencapainya) akan menyebabkan negara-negara sedemikian tersingkir daripada hak untuk menjadi tuan rumah kepada acara sukan antarbangsa sehingga jaminan yang diperlukan diperolehi dan dihormati”.

Surat yang diperkatakan itu, bagaimanapun tidak dapat ditemukan, di laman web IOC pada masa siaran.

Semalam Nazifuddin dilaporkan berkata, meskipun belum ada makluman rasmi daripada IOC, pertubuhan itu ada menyampaikan bayangan amaran sedemikian dalam satu pertemuan dengan MOM di Dubai, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

“Mereka meminta kami berbincang dengan kerajaan dan tampil dengan satu penyelesaian atau berdepan risiko tidak menganjurkan apa-apa acara,” Nazifuddin dipetik The Vibes sebagai berkata.

Mohamad Norza turut menggesa penyelesaian segera daripada kerajaan, dengan berkata khalayak sukan antarabangsa sebenarnya “sedang menantikan maklum balas” Putrajaya berhubung perkara itu.

Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu, dilaporkan The Vibes sebagai berkata dia akan membawa isu itu ke mesyuarat kabinet akan datang, namun tidak memaklumkan bila ia akan dibentangkan.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan juga akan menyatakan pandangan berhubung perkara berkenaan.

Malaysia yang menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia tidak memberi visa kepada atlet Israel.

Persekutuan Skuasy Sedunia (WSF) kemudian membatalkan kejohanan yang sepatutnya berlangsung dari 7 Dis hingga 12 Dis itu, dengan memetik isu visa dan varian Omicron Covid-19 sebagai sebab.

Malaysia pada 2019 turut dilucutkan hak menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Renang Para Dunia 2019 selepas tidak membenarkan penyertaan dari Israel.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel ekoran konflik Israel-Palestin.

NGO terbabit turut meluahkan rasa kesal dengan MOM yang tidak peka terhadap kesengsaraan warga Palestin yang berdepan kezaliman dan penindasan Israel, dan menyeru badan itu untuk mengubah sikap.

“MOM sepatutnya menyeru agar IOC memecat keanggotaan Israel daripada pertubuhan Olimpik.

“Ia juga sepatutnya mengajak persatuan sukan di seluruh dunia memboikot Israel sebagaimana Afrika Selatan dahulu pernah diboikot oleh masyarakat antarabangsa kerana dasar aparteidnya,” kata mereka.

NGO berkenaan turut menyeru kerajaan agar terus tekal menentang kezaliman Israel dengan terus tidak membenarkan mana-mana perwakilan dari Israel memasuki Malaysia.

Antara NGO yang mengeluarkan kenyataan tersebut ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (Ilman), dan Humanitarian Care Malaysia (MyCare).