Skip to main
Logo Malaysiakini

Rayzam ada gaji, elaun lain di Sabah - MSN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) memberitahu atlet negara yang dipotong elaun bulanannya, Rayzam Shah Wan Sofian, masih menerima pendapatan lain di Sabah.

Menurut Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, ketika ini Rayzam Shah kini bertugas sebagai kakitangan am rendah di Lembaga Sukan Sabah dengan gaji RM2,700 sebulan.

Pada masa sama kata Jefri atlet olahraga berkenaan juga menerima eluan atas khidmatnya menjadi jurulatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) Sabah.

Justeru kata Jefri langkah MSN memotong lebih separuh elaun yang diberikan kepada Rayzam Shah bertujuan untuk berlaku adil kepada atlet lain yang bekerja keras untuk memenangi pingat emas.

“Kita (MSN) juga mahu bersikap lebih adil. Kalau dulu semua (atlet) sama dapat RM2,000 tak kira atlet itu menang emas, perak atau gangsa, sekarang kita mahu atlet berusaha lebih keras dan menjadi dorongan mereka mendapatkan emas agar layak menikmati elaun RM2,000 itu.

“Jadi, bagi saya tidak timbul dia tak cukup belanja di Sabah dan tak payah kerja di McDonald's pun,” katanya dipetik Utusan Online.

Semalam atlet olahraga yang pernah menyumbang pingat - termasuk emas - kepada negara itu berasa kecewa selepas elaun bulanan MSN dikecilkan kepada sekadar RM800 berbanding RM2,000 sebelum ini.

"Kalau RM1,500 tak apa lagi, tapi kalau sudah jatuh sehingga RM800, saya pun terfikir-fikir mungkin lebih baik kerja lain sahaja yang berikan gaji lumayan... lebih baik kerja McDonald's,” kata Rayzam Shah. 

Dia juga berharap MSN mengkaji semula keputusan tersebut.

MSN sedia buka pintu

Menurut Jefri kadar elaun yang diberikan sekarang dibuat berdasarkan kepada penilaian prestasi atlet terbabit.

Tambahnya, Rayzam Shah juga sendiri memilih untuk menetap dan berlatih di Sabah, bukannya ada sebarang arahan dikeluarkan oleh MSN untuk berbuat demikian.

“Dia yang memilih untuk duduk di Sabah sejak program 2017 lagi. Memang penginapan, makanan, tempat latihan dan sebagainya kita sediakan di MSN, tetapi tidak di Sabah.

“Dia yang memilih untuk kekal berlatih di Sabah supaya dapat bersama keluarganya di sana.

"Kita tidak mampu menawarkan semua kemudahan seperti di MSN apabila atlet yang memilih untuk menetap di luar Bukit Jalil.

“Mereka yang merupakan atlet sepenuh masa sepatutnya tinggal berlatih bersama rakan sepasukan yang lain di Bukit Jalil yang sudah tentunya mempunyai segala kemudahan tersebut.

"Justeru tidak timbullah elaun latihan tidak mencukupi kalau tinggal di MSN,” katanya.

Jefri juga memberitahu MSN sedia membuka pintu dan mengalu-alukan jika Rayzam Shah mahu kembali berlatih di Bukit Jalil.

"Apa yang penting ialah berlatih bersungguh-sungguh menjelang Sukan SEA di Vietnam dan jika dia berjaya menang emas, elaun RM2,000 bakal menjadi miliknya,” tambah Jefri.