Skip to main
Logo Malaysiakini

Tanpa sokongan k'jaan, emas judo hanya tinggal impian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Leo Chong Wei Fu jelas kecewa apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam pertandingan judo lelaki dalam Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Bercakap kepada Malaysiakini baru-baru ini, atlet berusia 28 tahun itu masih terkilan kerana gagal merangkul emas pada temasya sukan itu.

“Saya menyalahkan diri sendiri kerana kalah. Malah sekarang, apabila saya menoleh ke masa itu, saya berasa sedih,” kata Chong.

Selama bertahun-tahun, pasukan judo kebangsaan tidak menerima dana latihan, memaksa Chong dan rakan sepasukannya menanggung sendiri kos untuk menggapai cita-cita mereka.

Apabila cedera semasa latihan, Chong merawat dirinya sendiri menggunakan pek ais kerana tiada akses kepada ahli fisioterapi percuma.

Walaupun demikian, Chong berlatih bersungguh-sungguh untuk menyertai Sukan Sea 2019 di Filipina. Tanpa sebarang elaun, dia terpaksa mencari penaja dan menggunakan wang simpanannya sendiri.

Bagaimanapun, Chong gagal mara ke separuh akhir.

Tidak berputus asa, Chong masih berharap untuk mencatatkan kejayaan dan meletakkan sasarannya pada temasya Sukan Sea 2022 di Vietnam. 

Oleh itu dia bekerja sebagai ejen insurans dan jurulatih judo sambilan untuk menampung kehidupan.

“Atlet perlu berlatih sekurang-kurangnya lima jam sehari dan kita perlu berehat untuk badan pulih. Sejak saya mula bekerja, saya tidak tahu bagaimana saya boleh menguruskankannya.

"Saya masih mempunyai 'percikan' tetapi ia tidak sekuat dahulu kerana saya tidak mempunyai wang untuk "menyalakannya," tambahnya.

Kerajaan lebih tumpu pingat emas

Menurut Chong, Majlis Sukan Negara (MSN) kurang berminat dengan sukan judo kerana ia dianggap sukan tidak popular.

Akibatnya, pasukan judo kebangsaan tidak dapat menandatangani kontrak latihan jangka panjang dengan MSN.

Tanpa kontrak, atlet judo mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa tidak seperti atlet lain, di mana mereka tidak mendapat elaun atau latihan di luar negara.

Keadaan ini, kata Chong, menyukarkan atlet terpinggir ini untuk memberikan komitmen seratus peratus.

Sebagai contoh, pemenang pingat perak Sukan Sea itu berkata, dia bertanding dalam kategori 66kg dan oleh itu perlu berhati-hati dengan pemakanannya agar tidak terlebih berat badan yang boleh menyebabkannya hilang kelayakan.

“Jika saya tidak mengikuti diet yang ketat, sukar untuk menurunkan berat badan (sebelum pertandingan). Jika kita berada dalam program latihan MSN, pakar pemakanan akan menjaga pemakanan kita dan kita tidak perlu risau tentang makanan kita,” tambahnya.

Tambahan pula, tanpa kontrak latihan, atlet ini tidak mempunyai akses tempat latihan MSN dan kemudahan gim.

 “Kadang-kadang kami tidak mempunyai tempat untuk latihan, kami perlu mencari tempat sendiri. Seorang rakan sepasukan rapat dengan jurulatih kelab persendirian, jadi kami menggunakan ruang ini untuk latihan,” kata Chong.

Dia percaya jika berjaya memenangi pingat emas Sukan Sea 2017, pasukan judo negara mungkin ditawarkan kontrak jangka panjang.

Dia mendakwa bahawa kerajaan lebih memberi perhatian terhadap acara yang boleh menyumbangkan pingat emas.

“Tiada siapa peduli siapa yang mendapat perak atau gangsa. Sekiranya tiada pingat emas, ia akan dianggap sebagai 'tiada keputusan' dan oleh itu tidak perlu untuk memberikan bajet tambahan.

"Tetapi apakah peluang untuk memenangi pingat emas tanpa peluang latihan?" soalnya.


[Baca berita penuh]