K’jaan sumbang RM10 juta kepada FAM
Kerajaan akan menyumbang RM10 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tahun ini sebagai sokongan kerajaan untuk pembangunan bola sepak negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap ia dapat membantu FAM melahirkan pemain yang berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.
“Dalam bola sepak, pembangunan pemain bola sepak bukan setakat infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata kerana bola sepak negara hanya akan maju apabila melibatkan pembangunan pemain yang sistematik bermula dari peringkat akar umbi dan seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik negara.
“Pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme yang tinggi. Sikap profesional menuntut sesebuah organisasi dan juga individu untuk membuat perancangan yang rapi. Failing to plan is planning to fail (Kejayaan tidak berlaku secara kebetulan. Ia memerlukan perancangan),” katanya dalam ucapan sempena majlis pecah tanah ibu pejabat baharu FAM di Presint 5 di Putrajaya hari ini.
Menurut perdana menteri, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu perkembangan mutu bola sepak negara termasuk melalui Peta Hala Tuju atau F:30 yang dilancarkan pada 2018.
Beliau berkata ia merupakan simbol kesungguhan FAM dalam melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bola sepak yang disegani.
Jelasnya sasaran utama F:30 ini adalah menjadikan pasukan negara sebagai satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.
“Sasaran ini mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari semasa ke semasa dan tidak lari daripada objektif asal mereka.
“Saya sedar, apabila bercakap soal pembangunan bola sepak, tanggungjawab itu tidak seharusnya dipikul oleh FAM semata-mata. Ia wajar menjadi agenda nasional, dengan kerjasama kementerian yang berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal,” katanya.
Mengenai ibu pejabat baharu FAM, Ismail Sabri berkata ia merupakan satu penghormatan paling besar sebagai usaha menghidupkan legasi bekas Presiden FAM Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah.
Katanya tapak seluas 2.43 hektar itu akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan.
“Pembangunan perisian atau ‘software’ dalam kecemerlangan modal insan wajar diutamakan melalui perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara.
“Saya berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai