Skip to main
Logo Malaysiakini

Presiden akui ahli jawatankuasa alpa urus Melaka Titans

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Terhukum dengan kealpaan hingga tersungkur ke Liga Divisyen Satu pada musim lepas, Melaka Titans kini nekad mendominasi saingan Liga Sepak Takraw (STL) yang bermula 1 hingga 6 Feb ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata Melaka Titans juga akan memastikan mereka berada di tahap memuaskan pada tahun ini termasuk melangkah ke perlawanan akhir dan seterusnya kembali ke kancah Liga Premier untuk musim 2022.

"Itu mungkin kealpaan kami sebagai ahli jawatankuasa persatuan sehinggakan tidak memberi fokus terhadap Melaka Titans dan akhirnya kalah pada peringkat separuh akhir dan turun ke Liga Divisyen Satu.

"Saya akui ini kealpaan pihak jawatankuasa dalam mengurus tadbir pasukan Melaka Titans yang pada satu masa berada pada tahap memuaskan dan saya minta maaf kepada peminat," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain STL Melaka bagi musim 2021/2022 di Melaka malam tadi.

Demi sasaran tersebut, Melaka Titans kini menampilkan barisan pemain yang lebih ampuh dan berpengalaman termasuk pernah mewakili negeri lain sama ada Liga Premier atau Divisyen Satu.

Kekal di bawah kendalian ketua jurulatih Riduan Ramli, Melaka Titans kali ini diperkuat dengan kehadiran Mohd Zarlizan Zakaria sebagai ketua pasukan dan Muhammad Umar Mohammad yang bermain di posisi apit kiri.

Mohd Fadzil Baharudin, Muhamad Sollehuddin Aziz dan Muhammad Najib Abd Rahman pula di posisi apit kanan manakala Iskandar Zaulkarnain Salim dan Sahidan Md Ali sebagai tekong pasukan.

"Saya percaya kehadiran pemain ini akan mewarnai kancah Divisyen Satu dan yakin mara ke perlawanan akhir," katanya.

Mengenai Melaka yang dikatakan akan menjadi satu daripada venue STL, Akramuddin yang juga Pemangku Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkata perkara itu telah dibincangkan dengan pihak penganjur.

"Sebelum ini, memang ada hasrat bawa STL ke Melaka pada 2021 tetapi disebabkan berlakunya pergolakan politik Melaka, maka setelah berbincang dengan pihak penganjur mereka menawarkan kita, kalau dapat pada Oktober depan.

"Venue dah ada, kalau dapat buat di MITC (Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka) nanti dan ini yang dijanjikan oleh penganjur untuk dijadikan satu daripada venue STL," katanya.

- Bernama