Skip to main
Logo Malaysiakini

Jaguh Denmark sokong keputusan Zii Jia tinggalkan BAM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jaguh badminton Olimpik Denmark, Viktor Axelsen menyokong keputusan pemain nombor satu negara Lee Zii Jia untuk menjadi pemain profesional dengan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dalam ciapan di Twitter hari ini, Viktor berkata dia bukan berniat untuk mencampuri urusan pemain negara itu dengan BAM, namun sekadar menyuarakan pandangan.

Jelasnya, Zii Jia mempunyai hak untuk menentukan masa depan kariernya.

“Jika seorang pemain, (dalam kes ini LZJ), merasakan yang terbaik untuk dia mengikut jalan lain, dia lebih bebas sebagai pemain, maka pada pendapat saya, itulah yang harus dia lakukan.

“Setelah bermain menentang LZJ (Zii Jia) berkali-kali, saya yakin tidak kira apa pun, LZJ akan terus melakukan segala yang dia mampu untuk menghasilkan keputusan yang baik dan terus melakukan yang terbaik untuk menjadikan rakyat Malaysia, dan semua orang yang menyokongnya bangga.

"Hanya dia tahu apa yang terbaik dan saya melihat ke depan dengan harapan untuk mempunyai lebih banyak pertemuan menarik menentangnya.

"Ini bukan urusan saya, tetapi saya hanya mahu berkongsi pandangan," ciapnya.

Semalam Bernama melaporkan, pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu telah menghantar surat untuk meninggalkan BAM.

Perkara itu diumumkan oleh presiden BAM Norza Zakaria.

Zii Jia kelmarin dilaporkan mengadakan pertemuan empat mata dengan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kuala Lumpur.

Sebelum ini spekulasi bertiup kencabg bahawa dia mahu bergerak secara profesional.

Zii Jia memberikan alasan yang dia tidak tahan dengan tekanan diterimanya sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara sekali gus membuat keputusan meninggalkan BAM.

Dalam pada itu BAM akan menentukan esok sama akan menerima keputusan Zii Jia untuk menjadi pemain profesional selepas meninggalkan badan itu atau sebaliknya.

Presiden BAM, Mohamad Norza Zakaria dilaporkan memberi mandat kepada timbalannya Jahaberdeen Mohamed Yunoos untuk meneliti perkara itu.

Jelas Mohd Norza, satu sidang media di Akademik Badminton Malaysia akan diadakan esok bagi menjawab perkara itu.

Mengulas lanjut, Norza berpendapat masalah Zii Jia bukan dengan BAM tetapi mungkin kerana dia melihat keutamaannya yang lain.