Skip to main
Logo Malaysiakini

Judo: Hanya atlet disenarai MOM dapat dana, kata MSN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Sukan Negara (MSN) menyatakan, hanya atlet judo yang disenaraikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk bertanding di Sukan SEA diberikan peruntukan.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat MSN, pada setiap kejohanan Sukan SEA, MOM menyenaraikan atlet judo untuk menyertainya.

"MSN akan memberikan peruntukan kepada persatuan sukan kebangsaan untuk membantu membiayai penyertaan ke temasya berkenaan," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas laporan mengenai cabaran dihadapi atlet judo negara, Leo Chong Wei Fu, yang tidak lagi mendapat dana untuk latihannya selepas gagal merangkul pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. 

Menurut Chong selama bertahun-tahun pasukan judo kebangsaan tidak menerima dana daripada kerajaan memaksa dia dan rakan sepasukannya menanggung sendiri kos untuk menggapai cita-cita mereka.

Jika tercedera semasa melakukan latihan, Chong terpaksa merawat dirinya sendiri menggunakan pek ais kerana tidak mempunyai akses kepada ahli fisioterapi secara percuma.

Chong berlatih bersungguh-sungguh untuk menyertai Sukan SEA 2019 di Filipina. Tanpa sebarang elaun, dia terpaksa mencari penaja di samping menggunakan wang simpanannya sendiri untuk mewakili negara.

Bagaimanapun, Chong, 28, gagal mara ke separuh akhir di Filipina.

Kini dia sedang gigih untuk menyertai Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam yang dijadual berlangsung mulai 12 Mei ini.

Dalam temu bual dengan sebuah portal berita, Chong berkata MSN kini kurang berminat dalam sukan judo kerana ia dianggap tidak popular. Keadaan itu katanya menyebabkan mereka tidak dapat menandatangani sebarang kontrak latihan jangka panjang dengan MSN.

Tanpa kontrak, atlet judo yang mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa tidak mempunyai akses kepada sumber dana seperti elaun atau latihan di luar negara.

Kata MSN, ketika ini judo tidak termasuk dalam kategori sukan teras.

Untuk melayakkan sesuatu sukan itu dianggap teras, kata MSN, ia dinilai berdasarkan kepada faktor:

  • Rekod prestasi cemerlang
  • Sukan yang popular dan membabitkan pelbagai lapisan masyarakat
  • Kemampuan organisasi atau persatuan sukan kebangsaan
  • Kemudahan sukan yang boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat, dan
  • Menjadi sukan wajib dalam temasya sukan antarabangsa

Kata MSN, sebelum ini badan itu memberikan sokongan kepada sukan judo sehinggalah pada 2011 apabila tiada pungutan pingat emas diperolehi pada sukan SEA.

"Malah pasukan judo negara pernah diberikan beberapa peluang, termasuk menghantar mereka menjalani latihan di Mongolia tetapi sasarannya tetap tidak dapat dicapai," katanya.