Skip to main
Logo Malaysiakini

Aduan serangan seksual bekas atlet: KBS beri kerjasama pada polis - Faizal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan bahawa kementerian itu akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan polis berhubung tuduhan jenayah seksual membabitkan seorang jurulatih renang, kira-kira 20 tahun lalu.

Jurulatih berkenaan didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang bekas atlet renang lelaki, yang ketika itu berusia 10 tahun.

"Saya percaya laporan polis telah dibuat oleh bekas atlet berkenaan perkara ini dan saya boleh memberi jaminan kepada semua pihak bahawa kementerian akan memberi kerjasama dan membantu sepenuhnya dalam siasatan ini.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kementerian dan saya sendiri komited untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak dan atlet kita," katanya dalam dalam kiriman pesanan teks kepada Malaysiakini.

Ahmad Faizal mengulas aduan terbaru seorang bekas atlet renang negara yang mendedahkan dia diserang secara seksual oleh jurulatihnya ketika berumur 10 hingga 17 tahun. 

Bekas atlet itu antara lain mendakwa dia dipaksa melakukan seks oral terhadap jurulatih berkenaan.

The Vibes melaporkan atlet itu enggan identitinya didedahkan kerana siasatan masih berjalan.

Pengadu itu juga berkata dia memutuskan untuk membuat laporan polis tahun lalu walaupun kejadian itu berlaku kira-kira dua dekad lampau.

Selain dirinya, pengadu juga mendakwa perbuatan seksual itu turut dilakukan ke atas atlet lelaki dan perempuan dalam pasukan itu.

Dia juga mendakwa pemangsa masih bertugas sebagai pegawai pasukan kebangsaan.

Malaysiakini telah menghubungi Bukit Aman untuk mendapatkan ulasan.