Skip to main
Logo Malaysiakini

BAM 'gantung' Zii Jia beraksi di pentas antarabangsa dua tahun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hasrat pemain badminton nombor satu negara Lee Zii Jia untuk bergerak sendiri sebagai pemain profesional di pentas antarabangsa menemui jalan sukar apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggantung pemain itu selama dua tahun.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden BAM, Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang menyatakan bahawa BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan pemain perseorangan lelaki itu menyertai mana-mana kejohanan untuk tempoh dua tahun.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan Zii Jia untuk meninggalkan badan induk itu, minggu lalu.

"Selepas mempertimbangkan semua faktor, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari," katanya dalam satu sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini, lapor BH.

Sebagai rekod, semua pemain perlu mendapatkan kelulusan persatuan bagi menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada 19 Jan lalu, Zii Jia dilaporkan telah menghantar surat untuk meninggalkan BAM dan dikatakan mahu bergerak secara profesional.

Keputusan Zii Jia untuk meninggalkan BAM diumumkan oleh presiden BAM, Norza Zakaria.

Zii Jia dilaporkan mengadakan pertemuan empat mata dengan BAM di ABM, Kuala Lumpur kelmarin.

Dia berkata, tekanan yang diterima di BAM antara alasan untuknya meninggalkan badan induk itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa BAM juga membuat keputusan untuk mengenakan hukuman sama kepada bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei yang secara tiba-tiba meninggalkan BAM atas alasan kesihatan, bermula 31 Okt 2021.