Skip to main
Logo Malaysiakini

Lee Zii Jia tukar gambar profil jadi hitam.

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sejurus selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan keputusan "mengantung" Lee Zii Jia selama dua tahun dari beraksi di pentas antarabangsa, atlet terbabit menukar gambar profil media sosialnya menjadi gelap gelita.

Tinjauan Malaysiakini di laman Facebooknya mendapati warganet meluahkan rasa simpati kepada Zii Jia dan pada masa sama menzahirkan sokongan kepada juara All England itu.

Hanya dalam tempoh kira-kira 30 minit gambar profilnya dibuat begitu, sudah ada lebih 2,400 komen ditinggalkan pada laman sosial tersebut dengan sebahagian besarnya menyatakan sokongan atas tindakan Zii Jia.

Pemilik akaun Facebook Ahmad Fawzi misalnya berharap Zii Jia tabah yakin pada diri dalam menghadapi keputusan BAM berkenaan.

"Kekal tabah dan yakin pada diri anda. Kami rakyat Malaysia menyokong anda dari belakang," tulisnya di ruangan komen Facebook Zii Jia.

Penggunaan Facebook Chan Yaw Boon Aboon pula menitipkan kata semangat bahawa peminat sentiasa bersamanya.

 

Terdahulu, Timbalan Presiden BAM, Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengumumkan keputusan badan induk itu untuk mengantung aksi Zii Jia daripada pentas saingan antarabangsa selama dua tahun.

Katanya, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan pemain perseorangan lelaki itu menyertai mana-mana kejohanan sehingga 2024 susulan tindakan Zii Jia untuk meninggalkan badan induk itu minggu lalu.

Sementara itu bekas pemain beregu negara Koo Kien Keat turut memberi semangat kepada pemain muda negara terbabit selepas keputusan diambil BAM.

Jelasnya, siapa saja berhak membuat keputusan untuk masa depan kariernya meskipun tidak tahu ia sama ada keputusan yang betul atau sebaliknya.

Dia turut menasihati Zii Jia supaya menjaga kecergasan untuk kembali beraksi di masa depan.

"Tidak sabar untuk melihat kamu beraksi, berusaha dengan ketabahan dan kecekalan yang telah kamu tunjukkan kepada kami sebagai rakyat Malaysia sejati," tulisnya di media sosialnya.