Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Reformasi sistem sukan negara segera

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KATA MP | Minggu ini berita tentang keputusan Lee Zii Jia menjadi perbualan hangat peminat badminton sukan dunia apatah lagi beliau kini menduduki ranking nombor tujuh dunia ketika baru mencecah usia 23 tahun.

Penggantungan Lee Zii Jia oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kejohanan antarabangsa menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem sukan negara kita hari ini.

Tambahan pula 144 orang atlet ditamatkan kontrak bersama MSN, bekas atlet paralimpik negara, Koh Lee Peng yang tular kerana menjual tisu, isu Ziyad Zolkefli dan pendedahan beberapa atlet negara tentang gangguan seksual serta banyak lagi isu menggambarkan industri sukan negara kita yang makin tenat.

Lee Zii Jia 

Saya pernah mengemukakan soalan terhadap Ahmad Faizal Azumu dalam sidang Dewan Rakyat November lepas tentang peruntukan buat atlet berprestasi tinggi yang tiada dalam belanjawan namun beliau menyatakan akan memberi komitmen untuk atlet berprestasi tinggi tersebut.

Namun begitu, jika dilihat realiti sebenar tiada pembelaan terhadap atlet negara yang kian lama berjuang menghabiskan masa, wang dan tenaga semata-mata untuk melihat bendera Malaysia berkibar megah di mata dunia.

Terdapat banyak peruntukan dalam belanjawan 2022 Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang masih menjadi persoalan saya, apabila saya meminta menteri belia dan sukan mengemukakan senarai fasiliti sukan yang dinaik taraf sehingga kini masih tiada jawapan diberikan.

Siapa yang mendapat tender untuk fasiliti sukan tersebut dan mengapa tidak peruntukan tersebut tidak disalurkan untuk atlet menghadapi kejohanan antarabangsa?

Saya juga pernah mengemukakan penubuhan Universiti Sukan Malaysia agar industri sukan kita terus subur dan lebih sistematik dalam melahirkan atlet dari peringkat akar umbi.

Gambar hiasan

Walaupun Faizal Azumu menjawab akan memberi komitmen namun saya khuatir ia cuma adalah janji kosong daripadanya.

Beliau sememangnya sudah gagal dalam tugasnya sebagai menteri belia dan sukan.

Jika beliau tidak mampu menubuhkan Universiti Sukan Malaysia tersebut, perkara pertama yang perlu dilakukan KBS adalah menumpukan perhatian terhadap sukan yang menyumbang pingat emas untuk negara, bukannya membazirkan wang RM10 juta peruntukan untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sehingga kini gagal menyumbangkan pingat emas negara dalam kejohanan antarabangsa.

Isunya adalah tentang keutamaan negara dalam memecah kebuntuan pingat emas Olimpik negara yang masih gagal kita genggam.

Melihatkan BAM menggadaikan bakat Lee Zii Jia, saya khuatir sasaran emas Sukan Olimpik Paris 2024 juga kita akan gagal lagi sekali.


P PRABAKARAN ialah ketua Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.