Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Isu Zii Jia dan BAM selesai

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata isu antara pemain atlet badminton Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah selesai.

Ismail berkongsi perkara itu di Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan Lee dan kepimpinan tertinggi BAM di pejabatnya hari ini.

"Perbincangan yang bermanfaat. Alhamdulillah semua selesai.

"Semoga sukan badminton negara terus cemerlang di pentas dunia, dan Jalur Gemilang kembali berkibar di luar negara," katanya.

Ismail tidak menjelaskan butiran mesyuarat itu.

Lee telah menyerahkan peletakan jawatannya kepada BAM pada 11 Jan selepas persatuan itu tidak dapat bersetuju dengan permintaannya untuk memilih jurulatih sendiri, merancang jadual kejohanan sendiri dan memutuskan penajaan.

Sebagai tindak balas, BAM telah memutuskan untuk mengenakan larangan dua tahun daripada kejohanan antarabangsa ke atas Lee.

Semua kejohanan badminton utama dianjurkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Hanya pemain yang ditugaskan oleh badan badminton negara masing-masing boleh menyertai kejohanan tersebut.

Susulan itu, orang ramai membidas layanan terhadap Lee walaupun terdapat juga sebilangan besar yang menyokong keputusan BAM.

Bagaimanapun, dua hari lalu, Lee berkata dalam catatan Instagram bahawa Presiden BAM, Norza Zakaria telah memberikan "restu" untuk dia menjadi pemain profesional.

Namun, masih tidak dapat dipastikan sama ada BAM telah membatalkan secara rasmi keputusannya untuk tidak mendaftarkan Lee dalam kejohanan antarabangsa selama dua tahun.