Skip to main
Logo Malaysiakini

Proses dokumentasi faktor kelewatan Pan Goh - FAM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyokong bola sepak tempatan perlu bersabar sedikit masa lagi untuk melihat ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Kim Pan Gon memegang jersi pasukan negara.

Pan Gon yang diumumkan sebagai pengendali baharu skuad Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe bulan lalu, sebelum ini dijangka tiba bersama empat pembantunya awal bulan ini.

Bagaimanapun, disebabkan proses dokumentasi perjalanan yang masih belum selesai, bekas Ketua Jurulatih Hong Kong dari Korea Selatan itu dan barisan kejurulatihannya hanya akan tiba di tanah air selewat-lewatnya pertengahan bulan ini.

“Insya-Allah (Pan Gon tiba) dalam minggu depan atau minggu lagi satu. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu selesaikan dokumentasi berkaitan untuk mohon Pas Pekerja daripada MYXpats dan beberapa perkara lain. Selepas itu baru kita boleh menempah tiket penerbangannya.

“FAM tidak boleh sewenang-wenangnya menempah tiket penerbangan, kerana jika urusan dokumentasi tidak lengkap beliau tidak boleh masuk ke negara ini,” kata Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Mohd Saifuddin berkata sebaik Pan Gon dan barisan kejurulatihannya tiba di tanah air, mereka terlebih dahulu perlu menjalani kuarantin wajib selama lima hari sebelum diperkenalkan kepada umum pada satu sidang media.

Jurulatih berusia 52 tahun itu akan tiba bersama penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan dan juruanalisis.

Tugasan pertama Pan Gon dan barisan kejurulatihan adalah memantau prestasi pemain pada saingan Liga Malaysia 2022 yang dijadual bermula hujung bulan ini, sebelum mengendalikan kem latihan pusat skuad kebangsaan pada Mac.

Beliau kemudian akan membimbing skuad negara untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, dalam misi menamatkan penantian lebih 40 tahun Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir kejohanan peringkat benua itu.

-Bernama