Skip to main
Logo Malaysiakini

Mun Yee, Latif Romly kini Datuk

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas atlet penerjun negara Leong Mun Yee dan atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly kini bergelar Datuk apabila dianugerahi pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) hari ini.

Mereka berdua dikurniakan pingat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, hari ini, dalam sesi istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022, sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022. 

Berita gembira itu dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu di Facebooknya hari ini.

“Semoga penganugerahan ini menjadi pemangkin semangat untuk semua atlet agar terus berjuang membawa nama negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. 

Leong bersara pada 31 Dis lalu setelah 27 tahun berjuang di papan anjal, dan merupakan antara penerjun negara yang paling berjaya dengan pelbagai kejayaan termasuk pingat perak di Sukan Komanwel 2010 di India, gangsa di Sukan Asia 2014 di Korea Selatan dan dua emas di Sukan SEA KL, 2017.

Latif pula berjaya merangkul emas selain memecahkan rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 pada Sukan Paralimpik Musim Panas 2016 di Rio de Janeiro sebelum mempertahankan emas pada Sukan Paralimpik Musim Panas 2020 di Tokyo. 

Sementara itu, atlet pecut paralimpik kebangsaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pula menerima pingat Johan Mahkota Wilayah (JMW), manakala atlet badminton negara Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik pula dikurniakan pingat Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W).