Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri 'bisik' nak belanja Zii Jia nasi kandar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas mencatatkan kemenangan muda ke atas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew dalam aksi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) dua hari lalu, jaguh perseorangan badminton negara Lee Zii Jia menerima tawaran daripada seorang menteri yang mahu meraikan kejayaannya itu.

Tawaran itu bukanlah dalam bentuk wang ringgit, sebaliknya belanja makan nasi kandar tanpa had di Pulau Pinang.

Tawaran lucu itu dibuat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican di Facebook Lee, selepas berlaku adegan ‘bisik-membisik’ antara kedua-dua mereka.

Mereka secara berseloroh berbalas ucapan dalam dua gaya - satu dengan gaya rasmi, dan satu lagi gaya peribadi yang lebih santai.

Ia bermula dengan hantaran Reezal dua hari lalu yang mengucapkan tahniah atas kejayaan Lee di Facebook.

“Tidak, saya tidak meraikan kemenangan anda sebagai seorang menteri. Saya hanyalah seorang lagi peminat tegar,” tulis Reezal.

Namun hari ini, Lee pula mula ‘berbisik’ membalas ucapan Reezal itu Facebook.

“Secara formal: Dato Seri Merican, terima kasih atas sokongan anda. Saya akan cuba sehabis baik untuk membanggakan negara.

“Secara peribadi: Terima kasih, bro. Kamu selalu menjadi penyokong terkuat saya,” tulis Lee dengan menanda akaun Facebook Reezal.

Reezal membalas hantaran Lee itu di ruangan komen, juga dalam gaya serupa.

“Secara rasmi: Saya berdiri bersama semua rakyat Malaysia - kami sentiasa bangga dengan anda!

“Secara peribadi: Lain kali di Pulau Pinang (dan bila kamu tak berdiet), jangan lupa habaq okey? Saya belanja free flow nasi kandar,” tulis Reezal yang juga bekas menteri belia dan sukan.

Hantaran Lee itu telah meraih hampir 6,000 sukaan, ketika berita ini ditulis.

Kemenangan Lee dua hari lalu itu diraikan peminat badminton negara, lebih-lebih lagi Lee pernah tewas mengejut pada juara dunia dari Singapura itu dalam Terbuka Perancis tahun lalu. Lee menang straight set 21-6, 21-14 ke atas Loh.

Kejayaan itu juga disambut baik para peminat selepas Lee sebelum ini terpalit dengan krisis bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas dia mennggalkan badan sukan tersebut.

Namun, setelah sesi rundingan, kedua-dua pihak berjaya mencapai kata sepakat, dan BAM memberikan restu untuk atlet 23 tahun itu yang mahu bergerak sebagai pemain profesional.

Pada perlawanan BATC, Rabu lalu, Lee yang menduduki tempat ketujuh dunia, mempamerkan prestasi cemerlang untuk mengatasi Loh 21-6, 21-14 dalam perlawanan 30 minit sahaja, untuk mendapat mata pertama negara.

Malaysia kemudian menang 5-0 ke atas negara jiran Singapura.