Skip to main
Logo Malaysiakini

BATC: Malaysia melangkah ke pusingan akhir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pasukan lelaki negara semakin hampir untuk bergelar juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 buat pertama kalinya, selepas menumpaskan Korea Selatan, 3-0 pada peringkat separuh akhir, di Shah Alam hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia selaku naib juara edisi 2020 yang merupakan pencapaian terbaik sejak kejohanan itu bermula pada 2016, berjaya menebus kekalahan skuad wanita pada pasukan yang sama, 0-3 awal hari ini.

Bagaimanapun, ia bukan permulaan yang baik bagi kem Malaysia apabila pemain perseorangan utama Korea Selatan Jeon Hyeok Jin yang menduduki rangking ke-2,094 dunia, memberi tamparan hebat kepada juara All England dan pemain pilihan penonton, Lee Zii Jia pada set pertama.

Pemain nombor tujuh dunia itu, seakan hilang arah apabila gagal mengekang serangan Hyeok Jin dalam set pertama apabila tewas 13-21, namun pemain kelahiran Kedah itu bangkit untuk merampas set kedua 21-13 diikuti kemenangan 21-15 pada set penentuan, bagi memberi mata pertama kepada Malaysia.

Pasangan pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Woii Yik meneruskan momentum kemenangan dengan menampilkan permainan yang mantap ke atas Kmi Hwi Tae-Kim Jaehwan, 21-14 pada set pertama.

Bagaimanapun pasangan Korea Selatan itu berusaha memberi tentangan dengan mengheret perlawanan ke set penentuan apabila mereka menundukkan beregu nombor tujuh dunia itu 22-20 pada set kedua.

Pasangan Malaysia kemudian menamatkan permainan menerusi aksi penuh mendebarkan dengan kemenangan 21-19 bagi menjadikan kedudukan 2-0 kepada pasukan negara, dan Wooi Yik yang meraikan kemenangan tersebut melempar jersinya kepada penonton di Pusat Konvensyen Setia City.

Perlawanan ketiga juga menyaksikan perlawanan ditentukan sehingga set penentuan, dengan pemain muda yang meningkat naik Ng Tze Yong, berjaya bangkit selepas tewas set pertama ketika berhadapan Kim Joo Wan.

Selepas tewas set pertama 19-21, pemain berusia 21 tahun itu merubah corak permainan kepada menyerang dari mula hingga tamat perlawanan, untuk menang set kedua 21-16.

Pemain kelahiran Johor itu, kemudian melalui permainan agak mudah dalam set ketiga sebelum menumpaskan Joo Wan, 21-12 , sekali gus mencatatkan hari yang cemerlang bagi Malaysia dan memastikan tempat negara ke perlawnan akhir.

Esok, Malaysia tentunya akan berhadapan perlawanan getir apabila bertemu musuh tradisi Indonesia, selepas juara bertahan itu mengalahan Singapura 3-2 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Perlawanan akhir lelaki akan berlangsung pada 4 petang.

Perlawanan akhir wanita antara Korea Selatan dan Indonesia, dijadualkan berlangsung pada 10 pagi esok.

-Bernama