Skip to main
Logo Malaysiakini

Elavarasan jadi pilihan Pan Gon

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon, mengumumkan pelantikan E Elavarasan bagi menggalas tugas penolong jurulatih tempatan dalam barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.

Menurut Pan Gon, pemilihan jurulatih berusia 60 tahun kelahiran Selangor itu menepati kriteria utama yang dikehendakinya iaitu seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Premier.

Katanya, pemilihan itu dibuat selepas meneliti calon-calon yang ditemuduga Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell sebelum ini.

"Saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemuduganya yang mana saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.

"Saya melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baru ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik," kata Pan Gon dalam kenyataan media, hari ini.

Kim Pan Gon

Sebagai rekod Elavarasan dilahirkan pada 5 Januari 1962 kini merupakan ketua jurulatih Sarawak United FC, jawatan yang disandangnya sejak Februari 2020 yang mana beliau berjaya membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Premier 2021, sekali gus layak ke Liga Super 2022.

Sementara itu, Elavarasan yang tidak pernah terbabit dalam mana-mana pasukan di bawah naungan FAM sebelum ini menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan.

"Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon.

"Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak saya dan tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United," katanya.

Terdahulu, pada sidang media pertamanya pada 17 Februari 2022, Pan Gon yang berasal dari Republik Korea telah memperkenalkan barisan kejurulatihannya dalam mengemudi skuad Harimau Malaya yang terdiri daripada Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Junho dari Republik Korea (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun dari Republik Korea (jurulatih analisis prestasi).

Skuad Harimau Malaya dijadual memulakan kem latihan pusat pertama mereka di bawah kendalian Pan Gon pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac depan.