Skip to main
Logo Malaysiakini

Cindy Ong tawar koleksi langka di NFT untuk bantu Ukraine

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jaguh renang Malaysia Cindy Ong bakal melancarkan projek NFT (non-fungible token) tidak lama lagi dengan harapan ia dapat membantu mengumpul dana buat rakyat Ukraine.

Jika semuanya berjalan lancar NFT Ong itu akan dilancarkan di OpenSea pada 20 Mac ini. Di situ sebanyak 999 imej langka dan koleksi peribadi ahli sukan itu akan ditampilkan.

NFT ialah unit data yang tidak boleh ditukar dan disimpan pada rantaian blok. Ia merupakan lejar digital yang boleh dijual dan didagangkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ong berkata projek itu memang sudah dirancangnya sejak lama dulu namun ia diperkuatkan lagi dengan konflik ketenteraan Rusia-Ukraine sekarang.

"Hal sebegini tidak sepatutnya berlaku sekarang. Saya berasa amat ngeri dan sedih tidak terkata apabila membaca tentang orang Ukraine teruk terjejas, terbunuh dan menderita setiap hari akibat peperangan yang dahsyat itu.

“Dan mendengar tentang hampir sejuta rakyat Ukraine terpaksa meninggalkan negara mereka sendiri sangat menyayat hati.

"Itulah sebabnya saya memutuskan untuk memanfaatkan projek NFT saya yang akan datang untuk memberi perhatian kepada tragedi kemanusiaan yang menimpa rakyat Ukraine ini dan untuk mengumpul dana untuk mereka," katanya.

Pada 2021, Ong disenaraikan sebagai perenang nombor satu dunia dalam acara renang rama-rama wanita 50 meter bagi kumpulan umur 35-39 tahun apabila mencatat kepantasan 26.71 saat.

Feb lalu dia mendakwa bahawa amalan diskriminasi umur dalam sukan, membawa kepada peningkatan halangan untuk kemasukan bagi atlet yang lebih tua.

Kata Ong dia percaya NFT adalah cara terbaik untuk orang awam menghulurkan bantuan kepada Ukraine kerana penghantaran mata wang kripto tidak memerlukan orang tengah atau bank.

Menurutnya lagi Ukraine menyediakan dompet ERC-20 untuk menerima dana sedemikian dan ia memudahkan bantuan seumpama itu disalurkan.

"NFT saya bertajuk Cindy Ong Swimmer - My Private Collection akan menjadi koleksi imej yang tidak pernah dikeluarkan sebelum ini yang sangat jarang dan peribadi.

"Ia dirakamkan sepanjang tempoh bertahun-tahun untuk simpanan peribadi. Lima NFT khas akan dilelong dengan setiap satu dilengkapi dengan pakaian renang berbingkai," katanya.

[Baca berita penuh]