Skip to main
Logo Malaysiakini

Trucha kecewa anak buah gagal manfaat laman sendiri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua jurulatih Penang FC Tomas Trucha kecewa pasukannya gagal mengutip tiga mata ketika beraksi di laman sendiri menentang Melaka United malam tadi.

Trucha berkata sasaran pertama skuad Harimau Kumbang itu adalah untuk menang di laman sendiri terutama apabila Penang FC berjaya menguasai perlawanan pada babak pertama.

“Sejujurnya, saya tidak gembira dengan satu mata malam tadi...sudah pasti kita perlu menang apabila beraksi di tempat sendiri tetapi ia tidak menjadi dan kami melakukan kesalahan untuk membolehkan pihak lawan berada di depan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini.

Beliau berkata anak buahnya berjaya bermain mengikut perancangan pada separuh masa pertama tetapi tidak meneruskan momentum itu pada babak kedua menentang pasukan pelawat.

“Perancangan kami adalah untuk mengawal permainan, mengekalkan penguasaan bola, bersabar, cipta peluang tetapi ia hanya terjadi pada separuh masa pertama...masa seterusnya pemain dilihat tidak cukup berani, tenang dan agresif,” katanya.

Trucha berkata pertukaran pemain pada separuh masa kedua juga tidak membantu memberi lebih tenaga dan kreativiti di bahagian tengah.

Pada aksi Liga Super itu, Penang FC dan Melaka United terikat 1-1 selepas pemain tengah Penang FC, Muhammad Danial Ashraf Abdullah berjaya menjaringkan gol dari sudut sukar pada minit ke-27, namun Melaka berjaya menyamakan kedudukan apabila kapten Penang FC Abdul Latif Suhaimi, menjaringkan gol sendiri pada minit ke-40.

Sementara itu, ketua jurulatih Melaka United Risto Vidakovic gembira dengan satu mata yang diraih semasa bermain di tempat lawan memandangkan persediaan dilakukan dalam tempoh singkat.

“Saya gembira dengan usaha pemain yang hanya berlatih 10 hari sebelum perlawanan pembukaan. Saya dapat lihat prestasi anak buah semakin baik,” katanya.

Pada perlawanan seterusnya, skuad Harimau Kumbang dijadual berlepas ke Kuching untuk bertemu Sarawak United pada 5 April manakala Melaka akan menerima kunjungan Sabah FC di Stadium Hang Jabat pada hari yang sama.

-Bernama