Skip to main
Logo Malaysiakini

Farah Ann umum persaraan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ratu gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi akhirnya tampil mengumumkan persaraannya secara rasmi di laman sosial Facebook dengan mengucapkan selamat tinggal kepada sukan yang dicintainya itu.

Farah Ann dalam satu hantaran di Facebook berkata keputusannya itu jelas sesuatu yang sukar buat dirinya, lebih-lebih lagi selepas 25 tahun terlibat dalam gimnastik.

"Dua puluh lima tahun lalu, seorang anak kecil memberanikan diri dan menyertai dunia gimnastik yang gila. Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan perjalanan yang akhirnya menjadi minat terbesar dalam hidup saya.

"Sekarang selepas 25 tahun yang menakjubkan dalam sukan ini, saya akhirnya sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal daripada menjadi seorang gimnas kompetitif," katanya.

Pada hantaran itu juga, Farah Ann turut berterima kasih atas semua kenangan yang dimilikinya itu.

"Apa yang boleh saya katakan, terima kasih gimnastik atas memori indah dan pengalaman yang diperoleh. Sepanjang perjalanan itu, menajdikan impian saya kenyataan dan layak beraksi di Sukan Olimpik, saya bersyukur untuk bersara mengikut jangka masa sendiri.

"Ia begitu menakjubkan. Terima kasih kepada semua. Gimnastik akan sentiasa menjadi sebahagian daripada saya, kerana ia akan selalu menjadi minat saya. Saya berharap dapat memberikan sesuatu kembali kepada sukan ini," katanya.

Bagaimanapun, Farah Ann berkata dia mungkin akan bersara sebagai atlet namun akan sentiasa terus terbabit dalam dunia sukan.

Gimnas negara itu sebelum ini mengakui berdepan cabaran getir dalam mencapai kemuncak prestasinya untuk mengharungi tiga temasya sukan utama tahun ini.

Temasya itu - Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia - berlangsung dalam tempoh agak dekat antara satu sama lain.

Sukan SEA di Hanoi, Vietnam akan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei, diikuti Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom pada 28 Julai hingga 8 Ogos serta Sukan Asia di Hangzhou, China pada 10 hingga 25 Sept.

Farah Ann membuat penampilan sulungnya di temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India muncul antara gimnas terbaik Malaysia di pentas Sukan SEA.

Gimnas negara itu meraih tujuh pingat emas, dua perak dan tiga gangsa di temasya dwitahunan itu dengan Sukan SEA 2019 di Filipina adalah pencapaian terbaik dengan mengutip tiga emas dalam acara senaman lantai, palang bertingkat dan all-around.

Pencapaian terbaik Farah Ann adalah layak beraksi di pentas Olimpik buat pertama kali tahun lepas, menyaksikan beliau menduduki tempat ke-68 daripada 85 peserta selepas mengutip 48.565 mata pada pusingan kelayakan acara all-around wanita.

Dia mengutip 11.600 mata (palang bertingkat), 11.566 mata (titian imbangan), 12.233 mata (senaman lantai) dan 13.166 mata (melombol).

Sebelum ini, masa depan Farah Ann bersama skuad kebangsaan menjadi tanda tanya apabila dilaporkan tidak mengikuti latihan selama tiga minggu dan menyuarakan hasrat untuk bersara.

Terdahulu, Bernama melaporkan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) hari ini mengesahkan bahawa Farah Ann tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan ke temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei depan.