Skip to main
Logo Malaysiakini

Tidak terburu-buru adaptasi corak permainan intensiti tinggi - Pan Gon

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua jurulatih baharu Harimau Malaya Kim Pan Gon belum memutuskan untuk melaksanakan permainan intensiti tinggi dan corak permainan pantas ke dalam skuad kebangsaan.

Ini berikutan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu masih dalam menilai keupayaan pasukan Harimau Malaya walaupun permainan itu semakin mendapat tarikan dalam era bola sepak moden hari ini.

“Intensiti tinggi atau tempo permainan pantas sangat penting pada masa kini namun kami perlu memahami banyak perkara termasuk fizikal pasukan, memahami permainan atau juga taktikal lawan kami.

“Lagipun, kami akan cuba yang terbaik dalam meningkatkan asas yang kami ada,” katanya yang ditemui pemberita hari pertama sesi latihan Harimau Malaya menjelang tiga perlawanan persahabatan di Singapura minggu depan.

Jurulatih berusia 52 tahun itu mengakui beliau tidak mahu terburu-buru mengadaptasi corak permainannya terhadap pemain tetapi berjanji untuk membantu mereka memahami idea itu dengan baik dari semasa ke semasa.

“Kita tidak boleh terus sahaja ke arah itu kerana ia pasti gagal. Kita akan melihat apa yang kita ada dan cuba mengadaptasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Malaysia dijadual berdepan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac dalam perlawanan Persahabatan Peringkat 1 Antarabangsa di Stadium Nasional Singapura, sebelum menentang pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.

Kesemua pemain dijadual berlatih di Stadium Nasional Bukit Jalil selama lapan hari sebelum mereka berlepas ke Singapura pada 22 Mac.

- Bernama