Skip to main
Logo Malaysiakini

Aksi bola sepak amal kenang jasa Shebby Singh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mohd Noh Yaacob, Hassan Miskam dan Salehan Mat Som antara bekas pemain negara yang menyertai perlawanan bola sepak amal bagi memperingati jasa mendiang Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh di Stadium Kluang, malam tadi.

Perlawanan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai The Friendship Circle itu menghimpunkan bekas pemain bola sepak kebangsaan dari Malaysia, Singapura dan Brunei.

Bekas pemain dan jurulatih negara Mohd Azraai Khor Abdullah yang juga wakil NGO itu berkata perlawanan itu menampilkan ramai bekas pemain negara dan sebuah kelab dari daerah ini yang dikenali sebagai Kluang All Stars.

Beliau berkata menariknya, semua pemain memakai jersi bernombor 3 sebagai simbolik nombor jersi yang dipakai mendiang Shebby Singh ketika aktif bermain bola sepak satu ketika dahulu.

“Antara sebab perlawanan ini diadakan di sini (Kluang) adalah kerana mendiang berasal dari daerah ini. Perlawanan ini berjaya menghimpunkan rakan-rakannya di sini selain bekas pemain negara,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan berkenaan di Kluang, malam tadi.

Mohd Azraai Khor berkata The Friendship Circle aktif menjalankan aktiviti amal dalam pembangunan bola sepak sejak ditubuhkan pada 2015.

Sebelum perlawanan itu, satu klinik bola sepak secara percuma turut diadakan di stadium berkenaan bagi mengenal pasti bakat cilik di daerah berkenaan.

“Program mencari bakat terpendam dalam kalangan kanak-kanak ini diadakan di seluruh negara tanpa bayaran dengan bekas pemain kebangsaan akan mengajar teknik permainan bola sepak.

“Para peserta juga berpeluang mendengar pengalaman bekas pemain tersebut sebelum mereka berjaya dalam arena bola sepak negara,” katanya.

Pada perlawanan itu, Kluang All Stars berjaya menewaskan pasukan bekas pemain negara dengan jaringan 3-2.

Shebby Singh, 61, meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway Iskandar Puteri, Johor Bahru, kira-kira pukul 7.30 malam, 12 Jan lepas.

Mula menyarung jersi kebangsaan pada 1982, Shebby Singh kemudiannya mengumpul 61 penampilan mewakili negara hingga persaraannya selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.

-Bernama